Farid mulakan prosiding sulh

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pelakon Farid Kamil, 42, tiba di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada jam 11.45 pagi tadi, bagi menjalani prosiding sulh susulan permohonan cerai dibuat isteri, Diana Danielle, 32.

Farid atau nama sebenar, Farid Kamil Zahari ditemani pengurusnya, Azahari Hamid.

Ketika ditemui, Farid berkongsi harapan agar proses perbincangan lancar.

Farid tiba di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada jam 11.45 pagi tadi menjalani prosiding sulh bersama isteri, Diana. Foto NSTP Ezairi Shamsudin
Farid tiba di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada jam 11.45 pagi tadi menjalani prosiding sulh bersama isteri, Diana. Foto NSTP Ezairi Shamsudin

 

“Saya hadir hari ini untuk sulh. Saya rasa sangat bersyukur dan gembira kerana akan berjumpa anak-anak, tidak lama lagi,” katanya sebelum memasuki kamar mahkamah, di sini.

Ketika ditanya kejutan yang difahamkan bakal dibuat, hari ini, Farid meminta menunggu prosiding sulh selesai.

“Selepas ini akan ada sidang media… Jadi, nantikan,” katanya.

Bagaimanapun, maklumat diperoleh BH Online mendapati Diana atau nama sebenar, Diana Danielle Danny Beeson tidak hadir pada prosiding sulh itu.

Perkara itu disahkan peguam syarie yang mewakili aktres berkenaan, Datuk Akberdin Abdul Kadir.

Lebih 20 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 8 pagi untuk membuat liputan.

Sulh adalah majlis perbincangan bersama antara pihak yang terbabit dalam suatu pertikaian, membabitkan satu atau lebih tuntutan dengan dipengerusikan pegawai sulh.

Seandainya suatu persetujuan secara damai dapat dicapai secara sukarela antara kedua belah pihak, butiran itu direkodkan oleh hakim sebagai satu perintah mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan.

Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan menetapkan 30 Mei depan bagi kedua-keduanya memaklumkan kepada mahkamah mengenai laporannya.

Diana melantik pengurus bagi mewakili dirinya, manakala Farid pula melantik kakaknya.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat