KUALA LUMPUR – ADUN Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari mendakwa Bersatu Selangor dikuasai ‘kumpulan kartel’ dipimpin individu “baru sehari dua” menyertai parti itu sebagai punca beliau menyokong Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau menolak dakwaan merajuk kerana dilucutkan jawatan Ketua Bersatu negeri, sebaliknya merasakan diri tidak diperlukan parti selepas sembilan tahun bekerja keras menubuhkan Bersatu Selangor.
Selaku ketua Bersatu Selangor, beliau sebelum ini dipertanggungjawabkan mengenal pasti calon parti untuk bertanding pada PRN tahun lalu.
“Sebelum PRN tahun lalu, Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) meminta saya memberikan nama calon untuk bertanding mewakili parti kepada Jawatankuasa Pemilihan.
“Tetapi, lebih separuh nama ketua bahagian yang saya cadangkan itu dihumban keluar kerana ada kartel mahu membawa orang masing-masing sebagai calon Bersatu.
“Orang-orang yang menggantikan pula adalah calon ‘bidang terjun’ yang baru sehari dua sertai parti. Tetapi, pada PRN hanya menang majoriti puluh-puluh sahaja, padahal jika ketua bahagian bertanding, boleh menang majoriti lebih besar,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Rashid pada 6 Mac lalu mengumumkan beliau menyokong pentadbiran Amirudin tanpa paksaan dan yakin tindakan itu akan memanfaatkan penduduk Selat Klang menerusi kerajaan stabil.
“Keputusan ini dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan selepas saya meneliti titah ucapan Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) memuji kerajaan negeri yang berada di landasan tepat demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.