E-mel Pembaca: KENAPA DESAKAN AGAR LEMBAGA DISIPLIN MEMECAT HAMZAH DAN GENG SD MEMUNCAK

Desakan agar Lembaga Disiplin Parti BERSATU bertindak tegas terhadap Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kumpulan penyokongnya yang dikenali sebagai Geng SD serta Kluster Publika bukanlah sesuatu yang muncul secara tiba-tiba. Ia adalah kemuncak kepada kemarahan, kekecewaan dan kebimbangan mendalam pemimpin serta ahli akar umbi yang melihat parti mereka sedang diheret ke arah kehancuran dari dalam.

  1. Preseden UMNO: Tindakan Tegas Tanpa Bertangguh

Pada 28 Januari 2023, UMNO mencipta sejarah apabila 42 orang ahli dipecat serentak dan 5 orang pemimpinnya digantung melalui keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tanpa menunggu proses panjang Lembaga Disiplin.
Tindakan pembersihan ini melibatkan lima orang ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya (selepas itu bertambah 3 lagi menjadi 12 orang), dua orang ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli UMNO dari Pahang melalui keputusan MKT, bukan melalui Lembaga Disiplin.

Antara tokoh yang terlibat ialah seperti Khairy Jamaluddin, Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Shahril Sufian Hamdan dan beberapa Ketua Bahagian.

Mesejnya jelas: Apabila kepimpinan Umno, khususnya Zahid Hamidi melihat disiplin parti terancam dan kestabilan tergugat, tindakan drastik dianggap perlu demi kelangsungan parti. Ironinya UMNO tidak runtuh kerana tindakan itu.

  1. Pendekatan BERSATU: Berprinsip Tetapi Terlalu Lama

Berbeza dengan UMNO, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin memilih pendekatan berperlembagaan dengan menyerahkan sepenuhnya isu disiplin kepada Lembaga Disiplin Parti.

Namun realitinya, proses yang panjang dan berlarutan ini telah membuka ruang kepada penyokong Hamzah, iaitu Geng SD dan Kluster Publika untuk:

  • Menyerang Presiden secara terbuka
  • Mempertikai keputusan pemilihan parti, PAT2024 dan PAT2025
  • Mencetuskan naratif songsang terhadap kepimpinan parti
  • Mencemarkan imej BERSATU dan Perikatan Nasional

Serangan ini berlaku tanpa henti, seolah-olah tiada garis merah dalam disiplin parti.

  1. Memorandum NS, Perak dan Sarawak: Suara Kemarahan Akar Umbi

Memorandum dari Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak bukan sekadar dokumen politik. Ia adalah manifestasi kemarahan kolektif akar umbi yang melihat bahawa:

  • Pelanggaran perlembagaan disiplin, dan serangan terhadap Institusi Presiden dan kepimpinan parti dilakukan berulang kali secara terbuka oleh penyokong Hamzah sehingga merosakkan imej parti dan Perikatan Nasional
  • Kelewatan tindakan disiplin membenarkan kekacauan dan serangan-serangan terbuma terhadap Institusi Presiden dan kepimpinan parti terus berlaku
  • Jika dibiarkan, kerosakan terhadap BERSATU akan menjadi tidak boleh dipulihkan

Bagi mereka, isu ini bukan lagi soal individu, tetapi soal menyelamatkan institusi parti.

  1. Agenda Sebenar Geng SD: Segera Mengangkat Pemangku Presiden Secara Tidak Sah

Serangan bertali arus ini bukan tanpa matlamat. Matlamatnya jelas: Untuk segera mengangkat Hamzah menjadi Pemangku Presiden dan memaksa TS Muhyiddin berundur.

Usaha ini dilakukan dengan cara yang:

  • Melanggar Perlembagaan dan Disiplin Parti
  • Menyerang Institusi Presiden dan kepimpinan sah parti
  • Mempertikai dan menentang Keputusan-keputusan Perhimpunan Agung Tahunan 2024 dan 2025
  • Secara sengaja dan terang-terangan mencabar Institusi parti dan Lembaga Disiplin
  • Tindakan-tindakan, kenyataan-kenyataan terbuka, sidang media, siri podcast dan sesi live di media sosial yang mencemarkan imej dan menjejaskan sokongan terhadap parti dan PN

Ini adalah kesalahan disiplin berat, bukan perbezaan pandangan biasa.

  1. Kaedah Yang Jahat, Kesan Yang Merosakkan

Matlamat mereka hanya untuk mengangkat Hamzah, tetapi kaedah yang digunakan amat keji dan merosakkan. Penyokong-penyokong Hamzah ini telah:

  • Menghalalkan serangan dalaman
  • Mencetuskan kekacauan organisasi
  • Mencetuskan kekacauan semasa program rasmi parti dan Perhimpunan Agung Tahunan parti
  • Membuat pelbagai fitnah dan serangan terhadap Institusi Presiden dan kepimpinan sah parti
  • Merosakkan imej parti dan sokongan terhadap BERSATU dan PN demi untuk mengangkat seorang individu

Akibatnya, sokongan terhadap BERSATU dan PN terhakis, keyakinan ahli tergugat dan persiapan menuju PRU16 menjadi kucar-kacir. Inilah sebab mengapa kekacauan ini mesti dihentikan segera sebelum sebarang usaha pemulihan boleh dimulakan.

  1. Kenapa Desakan Pemecatan Semakin Kuat

Pada pandangan akar umbi, selagi Lembaga Disiplin tidak bertindak tegas:

  • Geng SD dan Kluster Publika akan terus bermaharajalela
  • Serangan terhadap Presiden dan institusi parti akan berulang
  • BERSATU dan PN akan terus dirosakkan dan dilemahkan dari dalam

Atas segala sebab ini, desakan agar Hamzah dan penyokongnya dipecat dianggap berasas, munasabah dan perlu.

  1. Kegagalan Hamzah Sebagai Timbalan Presiden

BERSATU Negeri Sembilan dan Perak bukan sahaja mendesak tindakan Lembaga Disiplin yang tegas, malah mereka secara khusus menyenaraikan kegagalan Hamzah satu demi satu, antaranya:

  • Gagal membendung penyokong yang melanggar disiplin secara terbuka dan berulang.
  • Dikaitkan dengan kekacauan semasa PAT2025.
  • Gagal sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah.
  • Gagal menjalankan peranan Ketua Pembangkang dengan berkesan dan berwibawa.
  • Tidak hadir mesyuarat penting serta gagal membentangkan laporan rasmi, termasuk laporan hasil post mortem PRU DU Sabah
  • Dikaitkan dengan rundingan luar tanpa mandat parti
  • Didakwa menjadi dalang kepada gerakan SD.
  • Dilihat tidak menyokong dan membantu Presiden, malah bertindak bercanggah dengan tanggungjawab Timbalan Presiden.

Kesemua ini membawa kepada satu kesimpulan: Hamzah dilihat gagal berfungsi sebagai Timbalan Presiden dan merupakan punca utama kekalutan dalam BERSATU. Bagi Negeri Sembilan dan Perak, atas kegagalan dan kerosakan yang telah berlaku ini, Lembaga Disiplin perlu memecat Hamzah.

  1. Adakah Hamzah dan Penyokongnya Akan Keluar BERSATU? Sejarah Mungkin Berulang

Persoalan besar kini: adakah Hamzah dan penyokongnya akan keluar BERSATU?

Melihat kepada rekod lampau beliau dalam UMNO, ia bukan sesuatu yang mustahil. Jika dikaji tindakan dan gerakan terdahulu:

  • Memberi tekanan kepada Zahid Hamidi supaya berundur
  • Selepas gagal mencapai matlamat
  • Meninggalkan UMNO dan menyertai BERSATU ketika BERSATU menjadi kerajaan

Hari ini, situasi hampir serupa. Jika desakan Geng SD gagal, tidak mustahil Hamzah dan kumpulannya akan meninggalkan BERSATU untuk menyertai kerajaan, kerana pola itu pernah berlaku.

Penutup

Isu ini bukan soal dendam politik. Ia adalah soal prinsip, perlembagaan dan kelangsungan parti. Jika Lembaga Disiplin tidak bertindak tegas hari ini, BERSATU berisiko menjadi parti tanpa aturan, tanpa autoriti dan tanpa masa depan. Perlembagaan dihormati, disiplin ditegakkan, parti diselamatkan.

Daud Ibrahim
Penulis dan Pemerhati Politik
Ahli Bersatu Cawangan BBS Utara (Bahagian Selayang)
No Ahli 00619947 (Sejak 2022)

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat