KUALA LUMPUR – Sudah dua orang Menteri Kabinet Perikatan Nasional (PN) disahkan dijangkiti virus Covid-19.
Selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohomed dijangkiti Covid-19, hari ini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun disahkan positif virus itu.
“Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun telah disahkan positif Covid-19 setelah mendapat keputusan ujian saringan malam tadi,” maklum kenyataan pejabat kementerian itu.
Rina telah dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh pada jam 11 pagi hari ini untuk pihak hospital menjalankan pemantauan lanjut dan akan mematuhisegala garis panduan berkaitan jangkitan Covid-19 yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau memohon maaf jika perkara ini telah menimbulkan apa jua kesulitan dan keresahan kepada semua dan memohon agar ALLAH mempermudahkan segala urusan semua yang terlibat.
Selain itu, beliau juga akan memastikan kementeriannya terus beroperasi seperti biasa.
Difahamkan Ahli Kabinet melakukan ujian saringan selepas ujian dilakukan terhadap Mustapa.
Ahli Parlimen Jeli itu dilaporkan menghadiri mesyuarat kabinet pada Rabu minggu lalu.