Bajet lapan lagi kementerian dilulus di peringkat jawatankuasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat minggu ketujuh menyaksikan anggaran perbelanjaan mengurus bagi lapan lagi kementerian dalam Bajet 2022 diluluskan di peringkat jawatankuasa.

Ia melibatkan Kementerian Kesihatan; Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kerja Raya; Komunikasi dan Multimedia; Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Setakat ini anggaran perbelanjaan mengurus bagi 24 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri telah diluluskan di peringkat jawatankuasa, manakala perbahasan dan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi dua lagi kementerian iaitu Pendidikan dan Pengajian Tinggi dijangka pada Isnin.

Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan dan penggulungan itu dijadual berlangsung hingga Isnin 13 Dis. Rang undang-undang itu diluluskan di peringkat dasar pada 18 Nov lepas.

Minggu ini juga menyaksikan isu kenaikan harga barangan keperluan asas sekali lagi menjadi fokus sidang Dewan Rakyat apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanyakan mengenai tindakan segera dan langkah efektif yang akan diambil Majlis Tindakan Kos Sara Hidup bagi menangani krisis menimpa rakyat ketika ini.

Menjawab soalan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan semua kementerian mengambil tindakan segera bagi menangani isu berkaitan mengikut bidang tugas masing-masing.

Mustapa berkata tindakan jangka sederhana dan panjang turut dibentangkan oleh kementerian-kementerian berkenaan pada mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup yang dipengerusikan Perdana Menteri semalam (Khamis).

Turut menjadi tumpuan pada persidangan minggu ini adalah isu larangan perarakan kavadi bagi Thaipusam dan chingay sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun depan yang menerima pelbagai maklum balas termasuk Ahli Parlimen pembangkang RSN Rayer bertindak mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat untuk membahaskan isu itu.

Isu pelantikan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Menjelaskan isu berkenaan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pelantikan itu dibuat oleh Kementerian Kewangan mengikut peraturan sedia ada dengan berlandaskan rekod prestasi dan pengalaman anak kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Selain itu, Dewan Rakyat dimaklumkan pada masa ini keputusan untuk menggunakan Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) bagi pelaksanaan 5G sedang berjalan dan proses rundingan antara Digital Nasional Bhd bersama syarikat telekomunikasi dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,609FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat