Vientiane – ASEAN menggesa semua pihak untuk menyatakan komitmen mengenai kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.
Gesaan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata Anwar, ia selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diakui secara universal, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
Menurut satu kenyataan, ASEAN pada masa sama juga menyeru agar Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan kestabilan di kawasan tersebut.
Anwar berkata demikian menerusi Sidang Kemuncak ASEAN-China yang berlangsung Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC), di Vientiane, lapor Astro Awanni pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, ASEAN juga mengalu-alukan sokongan China terhadap usaha peralihan tenaga dan menyeru kerjasama dalam teknologi baru seperti robotik dan kecerdasan buatan.
Selain itu kata Anwar, ASEAN juga mengalu-alukan Kenyataan Bersama mengenai Pengukuhan Kerjasama dalam Pertukaran Antara Rakyat, serta menyokong cadangan China untuk melanjutkan Tahun Pertukaran Antara Rakyat ASEAN-China sehingga 2025.
Sejak tahun 2020, ASEAN dan China menjadi rakan dagangan terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan antara kedua-dua pihak mencecah RM2.99 trillion atau AS$696.7 bilion pada tahun lalu.