ASEAN selesaikan 11 keberhasilan utama ekonomi, MITI terus perjuang kepentingan pengeksport Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – ASEAN telah menyelesaikan 11 daripada 16 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) di bawah Indonesia sebagai pengerusi, manakala lima daripada tujuh PED di bawah bidang kuasa Menteri Ekonomi ASEAN juga siap dilaksanakan, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata PED yang telah diselesaikan termasuk Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

Beliau berkata DEFA menyediakan pelan hala tuju komprehensif untuk memperkasakan perniagaan secara digital dengan mempertingkatkan saling boleh kendali dan keselamatan siber bagi menggalakkan perdagangan dan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Dalam memastikan keterangkuman, MITI sentiasa menyuarakan kepentingan perniagaan terutama PMKS di ASEAN dan Malaysia.

“Perniagaan juga boleh meraih manfaat daripada Rangka Kerja ASEAN untuk Inisiatif Berasaskan Projek Perindustrian, yang menyokong pemulihan sektor perindustrian dan komersial dengan menggalakkan pertumbuhan rangkaian pengeluaran baharu dan rantaian bekalan yang berdaya tahan untuk melonjakkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut MITI, keutamaan utama ASEAN termasuk menerima guna ekonomi digital, mencapai keneutralan karbon, mengutamakan agenda pembangunan mampan dan mempertingkatkan daya tahan rantaian bekalan — langkah penting dalam merealisasikan pembangunan ekonomi yang mampan untuk rantau itu.

Malaysia yakin PED itu akan mendorong ASEAN ke arah menjadi zon ekonomi amat bersepadu, bersatu, berdaya saing dan rancak di samping memupuk kebolehsuaian digital dan kemampanan, akhirnya memberi manfaat kepada kesejahteraan dan kemakmuran perniagaan dan rakyatnya, tambah MITI.

Pengeksport Raih Manfaat

Tengku Zafrul berkata pengeksport juga akan meraih manfaat daripada Protokol Kedua untuk Pinda Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN- Australia-New Zealand (AANZFTA) — perjanjian perdagangan bebas utama yang merangkumi lebih 650 juta penduduk, dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi US$4.5 trilion.

“Protokol Kedua untuk Pinda AANZFTA memperkenalkan tiga bab baharu iaitu mengenai pemerolehan kerajaan, PMKS, serta perdagangan dan pembangunan mampan,” katanya.

MITI menekankan bahawa Malaysia berharap untuk bekerjasama rapat dengan semua negara anggota ASEAN dan rakan blok itu bagi memastikan masa depan yang lebih makmur, hijau dan saksama.

Tengku Zafrul mengetuai pasukan MITI ke Sesi Khas Pemukiman Menteri-Menteri, Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-23 serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, yang diadakan dari 1 hingga 7 Sept di Jakarta, Indonesia.

Sesi Khas Pemukiman itu menumpukan Tinjauan Ekonomi Global dan Serantau serta Aliran Masa Depan, Masa Depan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC): Pasca-2025.

Sementara itu, Mesyuarat Majlis AEC membincangkan PED di bawah Indonesia sebagai pengerusi, Pelaksanaan Pelan Tindakan AEC dan Agenda Kemampanan ASEAN.

Tengku Zafrul turut dijemput menyampaikan ucapan pada Forum Pelaburan Perniagaan ASEAN, dengan menekankan pelbagai usaha ekonomi dalam AEC, kepentingan ASEAN dalam memperkukuh daya tahan rantaian bekalan semasa krisis serta kepentingan peralihan ke arah ekonomi digital di samping menerima dan melaksanakan pelbagai langkah kemampanan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat