Memperkasakan STEM Untuk Kekal Kompetitif

- Advertisement -

Oleh: Niza Afendi

Penguasaan dalam pendidikan Science, Technology, Engineering and Mathematics atau STEM adalah amat penting kerana ia merupakan daya saing bagi sesebuah negara. Minat pelajar dalam bidang STEM harus dipupuk dan tahap kesedaran segenap lapisan masyarakat di Malaysia juga harus ditingkatkan.

Pelan Tindakan STEM bermula daripada tahun 2017 – 2025 bagi mengatasi masalah kekurangan pelajar menyertai aliran STEM. Pelan ini telah dilaksanakan oleh tiga kementerian iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan (KPM), dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diharap akan memberi impak yang besar yang dapat memantapkan agenda negara.

Pada 1979 kerajaan melaksanakan sasaran nisbah 60:40 pelajar sains berbanding sastera. Ini dilakukan kerana aliran STEM yang menekankan kemahiran dan pengetahuan telah menjadi permintaan dalam kalangan majikan.

Salah satu kekuatan aliran STEM ialah ia memberi peluang besar kepada lepasan sekolah dan universiti untuk mendapat kerjaya yang baik. Justeru pendedahan awal terhadap sains dan matematik harus diterapkan pada peringkat awal pembesaran kanak-kanak bagi memupuk asas minat terhadap konsep ini.

Motivasi kepada para pelajar untuk menjadikan STEM sebagai pilihan juga perlu diterapkan. Dalam memacu STEM dan menjadikan ia mata pelajaran pilihan pelajar, mereka perlu mempunyai kelayakan sewajarnya serta mendapat sokongan dan sumber diperlukan daripada tenaga pelajar dan juga ibu bapa.

Kerjasama antara guru, ibu bapa, agensi, penggiat industri dan badan bukan kerajaan (NGO) adalah sangat penting bagi mengurangkan pandangan negatif masyarakat terhadap STEM dan sekaligus meningkatkan peningkatan pelajar STEM.

Pengurusan sekolah juga perlu memberi kerjasama kepada guru yang mengajar subjek Sains dan Matematik untuk lebih kreatif dalam kaedah penyampaian pembelajaran dan pengajaran. Tanggapan kurang yakin dengan keupayaan guru dan pelajar dalam bidang STEM harus disingkirkan. Peralatan dan kemudahan yang berkualiti juga boleh meningkatkan kualiti dan prestasi STEM. Bahkan juga, sikap terbuka semua genap lapisan masyarakat adalah perlu untuk menjayakan STEM.

Rentetan daripada perkara di atas, keberkesanan STEM dapat mempersiapkan Malaysia menjadi peneraju di antara negara-negara ‘Mighty Five’ yang muncul sebagai negara perkilangan teratas pada tahun 2020, menurut United States (US) Council on Competitiveness.

‘Mighty Five’ adalah merujuk kepada lima negara Asia Pasifik iaitu Malaysia, India, Thailand, Indonesia, dan Vietnam. Asas-asas yang dimiliki oleh Malaysia akan mendorong negara ini mampu maju ke depan berbanding negara-negara pesaing.

Perkara ini diperakui oleh Global Federation of Competitiveness Councils (GFCC) yang berbangga bahawa Malaysia adalah salah satu anggota GFCC yang terkemuka. Di Malaysia terdapat asas yang besar untuk membangun dan juga kemampuan kejuruteraan, penduduk yang berpendidikan tinggi, dan komitmen yang sangat kuat daripada kerajaan.

Malaysia mampu ke depan dengan adanya dasar dan kerangka yang tepat dalam inovasi serta berada di landasan yang betul untuk bergerak dan bergabung dengan negara-negara maju yang lain.

Di samping itu, laporan mengesahkan bahawa ekonomi Malaysia berdaya tahan dan berada di landasan untuk menjadi negara maju. Kerajaan juga mempunyai agenda untuk reformasi ekonomi dan mengambil jalan secara bertanggungjawab untuk merealisasikannya. Cukup menarik, kejayaan ini dibantu oleh kerja keras berjuta-juta rakyat Malaysia untuk memastikan perancangan ini terus berjalan.

Sehubungan dengan itu, implikasi daya tampung tenaga professional bagi pembangunan negara pada masa depan adalah juga bergantung pada jumlah pelajar aliran STEM.

Memetik teks ucapan daripada mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di mana pengurangan pelajar dari peringkat menengah akan memberi kesan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) kerana pada waktu ini terdapat sebanyak 11,000 tempat dalam pelbagai jurusan berkaitan STEM di IPT tidak dapat di isi.

Justeru, Pendidikan STEM mesti diintegrasikan dalam konteks dunia sebenar dan tidak boleh berdiri sendiri sebagai displin yang terasing. Dalam konteks ini, pendidikan yang lebih berorientasikan pemusatan kepada guru, iaitu yang berasaskan kelas tradisional perlu diubah kepada konsep baharu yang mengutamakan penglibatan pelajar.

Idea kreatif dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) menggantikan kaedah pengajaran pasif di dalam bilik darjah. Usaha ini adalah sejajar dengan peranan kerajaan untuk melonjakkan Malaysia sebagai “Mighty Five Manufacturing Nations” yang terkemuka.

*Penulis merupakan Tutor Sekolah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat