KUALA LUMPUR – Usaha memberi pendedahan berkenaan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar sekolah perlu dipelbagaikan supaya mereka dapat menambah ilmu pengetahuan dan meneroka banyak lagi konsep yang berkaitan dengan bidang itu.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, ia juga bertujuan memupuk dan menggalakkan semangat berinovasi dalam kalangan pelajar berkaitan bidang STEM.
Katanya, bidang STEM merujuk kepada cabang ilmu yang sangat penting dan mampan dalam meniti arus kemodenan dan inovasi dunia ketika ini.
“Dalam berdepan dengan cabaran Industri 4.0, generasi muda khususnya harus berupaya untuk mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi dan kreatif bagi menyelesaikan masalah kompleks dan cekap teknologi.
“Hal ini penting dalam mencapai matlamat status negara maju,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Karnival STEM 2023 di Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, (PPST), UMS, semalam.
Turut hadir, Pengarah Pusat Persediaan Sains dan Teknologi UMS, Dr Newati Wid, Ketua U-Science, Zawawi Tiyunin, Timbalan Pengarah Akademik Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, Dr Mohd Azrul Abdul Rajak dan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Penyelidikan Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, Dr Makdi Masnoddin.
Penganjuran Karnival STEM UMS itu diadakan bermula 22 Mac lalu secara dalam talian, diikuti pada 25 dan 26 Mei lalu secara hibrid, dalam talian dan fizikal yang diadakan di Pusat U-Science UMS.
Selain itu, beberapa siri taklimat akademik Jom@Asasi, serta pertandingan Young Sci-Show Competition (YSSC), Fun@Lab dan Spelling Bee telah dilaksanakan dengan jayanya menerusi karnival ini.
Pertandingan YSSC telah mendapat penyertaan yang sangat memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelum ini iaitu seramai 98 penyertaan daripada sekolah dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Kasim berkata, senario itu juga membuktikan bahawa pertandingan STEM yang dianjurkan ini, menjadi suatu ruang untuk anak-anak menyebarkan ilmu, menyuburkan bakat dan meningkatkan daya saing terhadap inovasi STEM.
Katanya, STEM juga adalah cabang ilmu yang sangat sinonim dalam aktiviti seharian kita kerana ia merangkumi setiap bahagian kehidupan.
“Bagaimanapun, ramai yang maklum, pengurangan jumlah pelajar yang mengambil bidang STEM di sekolah menengah adalah sesuatu yang membimbangkan dan perlu ditangani sedaya upaya yang mungkin sebagai contoh melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan dalam karnival ini.
“Oleh yang demikian, pendedahan STEM kepada pelajar hendaklah dipelbagaikan dan peluang perlu sentiasa diberi untuk mereka meneroka banyak lagi konsep yang berkaitan dengan STEM, tidak lain tidak bukan hal ini adalah untuk memupuk semangat berinovasi pelajar,” katanya. – BH