UPNM Bina Hab Kreatif, Naik Taraf Makmal Komputer Dengan Dana RMK12

KUALA LUMPUR, – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus memperkukuh agenda pendigitalan pembelajaran apabila membangunkan Hab Kreatif dan menaik taraf kemudahan makmal komputer menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad berkata, peruntukan Rolling Plan Ke-5 (RP5) RMK12 dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pemerkasaan infrastruktur dan pendigitalan pembelajaran di universiti itu.

Menurut beliau, antara projek yang dilaksanakan termasuk menaik taraf makmal komputer serta pembinaan dua kemudahan baharu, iaitu Studio Green Screen dan Maker Space yang dikenali sebagai Hab Kreatif.

“Melalui peruntukan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Rolling Plan Ke-5 (RP5), perpustakaan ini telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif pemerkasaan infrastruktur dan pendigitalan pembelajaran. Antaranya termasuk projek menaik taraf makmal komputer serta pembinaan dua kemudahan baharu, iaitu Studio Green Screen dan Maker Space yang juga dinamakan Hab Kreatif,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Hab Kreatif dan Galeri Jeneral Tun Ibrahim di Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim (PJTI), UPNM, pada Khamis.

Beliau berkata, Studio Green Screen bakal berfungsi sebagai pusat penghasilan video profesional, rakaman multimedia, dokumentari serta kandungan pembelajaran digital interaktif.

Katanya, Maker Space pula diwujudkan sebagai ruang kolaboratif yang merangsang inovasi, pemikiran kritis dan pembangunan kemahiran teknologi selaras dengan aspirasi pendidikan abad ke-21.

Majlis sama turut menyaksikan perasmian Galeri Jeneral Tun Ibrahim yang menghimpunkan koleksi peribadi Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim, termasuk naskhah buku, pingat kebesaran dan foto-foto bersejarah bagi dijadikan sumber rujukan kepada warga universiti, penyelidik serta masyarakat.

Arman Rumaizi berkata, galeri berkenaan diharap menjadi jambatan yang menghubungkan sejarah ketenteraan negara dengan generasi baharu, selain menyemai nilai kepimpinan, patriotisme dan semangat pengabdian kepada negara dalam kalangan pegawai kadet UPNM.

Beliau berkata, pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu mencerminkan komitmen UPNM dalam mengimbangi pemeliharaan warisan ketenteraan negara dengan pemerkasaan teknologi pendidikan serta inovasi digital, sejajar aspirasi Pelan Strategik UPNM30.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat