KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Annuar Musa mengingatkan Barisan Nasional (BN) supaya tidak bersikap sombong dan takbur menolak ‘bantuan’ Pas.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu memberitahu bahawa pelawaan Pas untuk menampung kerusi sekiranya BN gagal memperoleh majoriti mudah di Johor adalah bersifat ikhlas dan terbuka.
“Pas ikhlas dan terbuka. Di mana PN tidak bertanding, berilah sokongan kepada calon-calon BN.
“Pas berulang kali menyebut kesediaan menjadi pembangkangdan tidak menyertai kerajaan. Kita sedar kita bertanding 11 kerusi daripada 56 kerusi sahaja.Kita bersederhana dengan kekuatan yang terbatas.
“Namun kita bangga dengan sokongan kuat bangsa Johor pada Pas.
“Namun pimpinan BN tidak perlu peragakan sikap sombong dengan semua orang,” tegur Annuar.
Menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Johor itu lagi, pengundi terutama anak-anak muda tidak suka kepada sikap sombong atau takbur.
“Ambil iktibar PRN Sabah, akibat dari kesombongan dan tutur kata yang keras, akhirnya ditolak pengundi walau berjuta dilaburkan.
“Bersederhana itu lebih baik. Tidak perlu terlalu yakin. Undi ditangan rakyat, sekelip mata mereka boleh berubah
Jangan yang dikejar tak dapat yang dikendong pula berciciran,” katanya.
Annuar berkata demikian sebagai reaksi kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sebelum itu berkata, Pas tidak akan menjadi sebahagian kerajaan Johor jika BN kembali memerintah andai beliau dilantik semula ke jawatan tertinggi itu.
Onn Hafiz berkata, beliau memberi jaminan kepada rakyat Johor bahawa Pas sama sekali tidak akan menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan ‘dalam apa jua keadaan sekalipun’, lapor Sin Chew.



