KUALA LUMPUR – Sempena ulang tahun kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad ke-98 hari ini beliau berharap hubungan baik antara beliau dan pihak media terus terjalin utuh.
Pun begitu, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak mengharapkan semua orang khususnya media untuk menyokongnya namun sangat berharap agar laporan berita mengenai dirinya tidak diputar belit.
“Terima kasih kepada media yang telah menyampaikan (ucapan) selamat hari jadi kepada saya, saya ucap berbanyak terima kasihlah kerana mengingati hari jadi saya.
“Ya, memanglah saya sekarang ni sudah meningkat umur sudah sampai 98 tahun dan 98 tahun adalah sangat tua tapi saya masih boleh bercakap dan saya sedia ditemu bual oleh media dan menjawab semua soalan daripada anda semua.
“Saya juga rasa bersyukur kerana bernasib baik masih boleh menjawab semua soalan daripada media dengan baik. Mungkin saya akan lupa beberapa perkataan tapi saya masih boleh ingat semua sejarah lama, cerita lama dan menjawab semua soalan yang ditanya oleh anda (media),” katanya dalam hantaran suara di kumpulan WhatsApp Dr M’s media updates pada Isnin.
Dr Mahathir sangat menghargai hubungan baiknya dengan media tempatan dan juga antarabangsa.
“Saya harap hubungan antara saya dan media akan terus terjalin dengan baik.
“Saya tak harap semua orang (media) untuk menyokong saya tetapi saya sangat mengharapkan semua media menulis/ melaporkan fakta yang benar tentang saya dan tidak mengubah apa yang saya kata kepada perkara lain
“Jadi, terima kasih atas ucapan dan hubungan kita terus baik pada masa depan,” ucap beliau.