Saiz perbelanjaan pengguna dijangka berkurang selepas peluasan SST dilaksana

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas dijangka mengurangkan saiz perbelanjaan pengguna, terutamanya disebabkan kenaikan harga barangan bukan keperluan dan pelbagai jenis perkhidmatan yang kini dikenakan cukai, menurut CIMB Securities.

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya juga percaya bahawa pelaksanaan SST ini boleh membawa kepada tekanan inflasi yang lebih tinggi dalam jangka masa terdekat kerana pelarasan harga ke atas barang dan perkhidmatan.

“Ini boleh menjejaskan keyakinan pengguna, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Dengan sentimen pengguna yang lemah, syarikat pengguna juga mungkin menghadapi tekanan margin, memandangkan sebahagian daripada peningkatan kos mungkin perlu ditanggung oleh syarikat demi mengekalkan kemampuan harga untuk pengguna,” katanya dalam nota penyelidikan lapor Utusan pada Selasa.

Selain itu, jelasnya, saham-saham dalam segmen barangan pengguna tidak penting dijangka lebih terjejas kerana pengguna cenderung mengutamakan perbelanjaan ke atas barangan keperluan.

“Sebaliknya, permintaan bagi barangan keperluan harian dijangka kekal stabil, memberi manfaat kepada pengeluar dan peruncit makanan dan minuman (F&B) yang fokus kepada keperluan harian,” katanya.

CIMB Securities berpendapat bahawa pelaksanaan SST yang diperluas ini memberi kesan negatif kepada sektor pengguna atas dua sebab utama iaitu peningkatan kos operasi dan permintaan pengguna yang semakin lemah.

“Kebanyakan syarikat pengguna dijangka perlu menaikkan harga jualan bagi menampung kos tambahan, yang boleh melemahkan lagi kuasa beli pengguna,” katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB), dalam satu nota berasingan, menyatakan bahawa peluasan SST dilihat sebagai suatu perkara yang tidak memberi kesan besar kepada pasaran, dengan impak yang terhad terhadap keuntungan sektor-sektor lain.

HLIB berkata, sektor pembinaan terlindung dengan baik memandangkan kebanyakan struktur kontrak membenarkan pemindahan kos, manakala permintaan dalam sektor perbankan kekal tidak anjal, dan penyedia penjagaan kesihatan masih mengekalkan kelebihan harga serantau yang kukuh.

“Pada masa yang sama, pihak HLIB menjangkakan impak terhadap inflasi adalah terhad, memandangkan pelarasan SST adalah bersifat disasarkan, yang kebanyakannya dikenakan ke atas barangan tidak penting yang biasanya digunakan oleh isi rumah berpendapatan tinggi

“Ia turut memetik unjuran indeks harga pengguna (CPI) oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam julat 2.0 peratus hingga 3.5 peratus,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan bahawa Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2025, dengan cukai jualan sebanyak lima hingga 10 peratus dikenakan ke atas barangan terpilih dan bukan keperluan.

Di bawah struktur yang disemak semula, barangan keperluan termasuk hasil tani segar, buah-buahan tempatan, beras, minyak masak, roti, gula, ubat-ubatan dan bahan binaan akan kekal dikecualikan daripada cukai jualan.

Walau bagaimanapun, barangan pilihan atau mewah tertentu seperti ketam raja, buah-buahan import, cendawan trufel, minyak pati, dan fabrik sutera akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus manakala barangan premium seperti basikal lumba dan lukisan antik akan dikenakan cukai jualan yang lebih tinggi sebanyak 10 peratus.

Selain itu, bagi perkhidmatan pula, cukai antara enam hingga lapan peratus telah diperkenalkan meliputi enam sektor baharu iaitu penyewaan dan pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan perkhidmatan kecantikan.

Kadar yang dikenakan bergantung kepada jenis perkhidmatan dan hasil yang dijana.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat