KUALA LUMPUR – Pemangku Presiden MUDA Amira Aisya Abd Aziz mendesak hal kemalangan meragut nyawa ini harus dibawa ke mesyuarat Kabinet.
Tegas Adun Puteri Wangsa itu, Kerajaan Malaysia sudah tidak boleh menunggu Menteri Pengangkutan sahaja.
“Anthony Loke tunggu nak tubuh jawatankuasa, minta pendapat pakar, kumpul pandangan sebab terbukti – menteri amat perlahan bertindak.
“Sudah berapa ramai nyawa melayang, rakyat cedera parah dan akhirnya, tidak ada apa-apa perubahan yang ketara kita nampak.
“Saya fikir kemalangan meragut nyawa ini seolah-olah satu pandemik di negara ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Amira Aisya berkata beliau dan seluruh ahli MUDA menzahirkan rasa dukacita buat semua keluarga mangsa kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) yang telah meragut nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam.
Ujarnya, MUDA mendoakan semoga semua urusan dipermudahkan dan Allah SWT mencucuri rahmat ke atas semua.
” Sesungguhnya ini adalah tragedi yang amat dahsyat. 15 nyawa pelajar diragut dengan satu kemalangan dalam perjalanan pulang ke universiti dan lain-lain cedera parah. Ini bukan pertama kali kita dengar dan malangnya – ia bukan kali terakhir hal sebegini berlaku.
“Laporan rasmi menyebut pengguna jalan raya di Malaysia akan terlibat dalam kemalangan setiap 50 saat. Lagi parah, setiap 1 jam 56 minit, satu nyawa akan melayang dalam kemalangan.
“Mangsa kemalangan ini bukan hanya satu statistik atau nombor dalam carta, tetapi mereka adalah individu yang ada masa depan yang besar dan panjang. Tapi kerana kemalangan jalan raya, hilang nyawa.
“Ketika saya menulis ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman baru sahaja maklumkan pemandu bas dalam tragedi kemalangan mahasiswa UPSI ada 18 saman termasuklah kesalahan memandu laju, kemalangan, tidak memakai tali pinggang dan tiada lampu brek ketiga,” kata beliau lagi.
Menurut Amira Aisya, sampai bila kita mahu baca berita kemalangan maut? Pemandu yang culas dalam amanah dan pengusaha yang lepas tangan?
“Menteri Pengangkutan pun saya pasti – tidak ada strategi, pelan dan rancangan dalam hal ini.
“Al -Fatihah buat semua mangsa kemalangan maut Universiti Pendidikan Sultan Idris. Moga mereka semua dipayungi rahmat Azza Wa Jalla,” ucapnya.