DOF berhasil tangkap 737 kg ikan bandaraya di Sungai Langat

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

BANGI – Inisiatif Jabatan Perikanan (DOF) Selangor melalui Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat berhasil menangkap sebanyak 737 kilogram ikan bandaraya di Denai Sungai Kebangsaan (DSK) @ Sungai Langat pada Ahad.

Operasi memburu beribu ikan bandaraya@Amazon sailfin catfish juga dikenali sebagai ikan pleco kategori genus Pterygoplichtys telah ditangkap mengambil masa 3 jam itu melibatkan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB) diketuai oleh pengasasnya Mohamad Haziq A Rahman.

Turut terlibat dalam operasi ini, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Syarikat Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, hampir semua sungai utama di Lembah Klang antaranya di Sungai Klang, Sungai Langat dan Sungai Selangor terjejas dengan kebanjiran ikan bandaraya yang membiak dengan cepat dan amat sukar dimusnahkan

Beliau berkata, spesies ikan pendatang takluk ini punca kepupusan ikan tempatan, selain itu apabila hendak bertelur ikan ini akan menebuk tebing sungai menyebabkan tebing sungai akan terhakis dan runtuh.

“Semakan semula berkenaan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perikanan Sungai) dan Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur) Selangor bagi pengurusan dan kawalselia aktiviti akuakultur juga sedang dijalankan bagi memastikan kelestarian sumber perikanan darat.

Penggubalan semula kedua-dua peraturan ini dapat membantu DOF Selangor dalam mengawal selia kemasukan ikan asing ke dalam perairan umum dengan lebih efisien, ”katanya kepada media selepas merasmikan program itu.

Terdahulu, beliau turut melepaskan 10,000 benih ikan lampan sungai ke Sungai Langat dan menyertai operasi menangkap ikan bandaraya di perairan sungai itu.

Sementalah itu, Pengarah DOF Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, program ini memfokuskan aktiviti memburu ikan bandaraya bersama komuniti bagi mengekang kebanjiran populasi ikan asing invasif yang telah menjejaskan spesies ikan asli dalam ekosistem perairan negara.

Katanya, hasil kajian yang dijalankan oleh DOF tahun lalu di Sungai Batang Si, Sungai Tekala, Taman Botani Negara, Shah Alam dan Hutan Simpan Raja Musa, Bestari Jaya mendapati spesies ikan asli seperti baung, lampam, udang galah, terbul, ketutu, pipi merah, patin dan selat masih lagi mendiami perairan sungai tersebut.

DOF Selangor juga telah melaksanakan program dan aktiviti bagi menambah stok ikan asli di perairan dengan mengadakan aktiviti pelepasan ikan asli dan udang galah sebanyak 215,000 ribu ekor di Sungai Bernam, Sungai Batang Si serta Sungai Selangor pada Mac dan April lalu.

Ujarnya, orang ramai digesa agar tidak membuang ikan asing seperti ikan bandaraya, sewenang-wenangnya ke perairan umum kerana ianya boleh menganggu ekosistem sungai dan habitat ikan asli.

“Kepentingan pemuliharaan ekosistem sungai terutamanya ikan asli adalah menjadi tanggungjawab kita bersama, ”ujarnya lagi.

Dalam pada itu, KPIB turut menerima sumbangan peralatan dari DOF berupa jala tangsi, penimbang gantung dan sarung tangan bagi kegunaan komuniti tersebut untuk memburu ikan asing.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat