Tan Sri Azam Baki Dilantik Semula Ketua Pesuruhjaya SPRM Hingga Mei 2026

- Advertisement -

CYBERJAYA – Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pelantikan semula itu telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selaras dengan Subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694].

“Pelantikan semula ini berdasarkan pengalaman, komitmen dan pencapaian beliau sepanjang mengetuai SPRM,” ujar kenyataan itu.

Ini merupakan pelantikan semula kali ketiga buat Azam sejak menggalas jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020, menggantikan Latheefa Koya. Beliau sebelum ini dilantik semula dua kali bagi tempoh masing-masing setahun pada 2023 dan 2024.

Berusia 62 tahun, Azam mempunyai pengalaman lebih empat dekad dalam bidang penguatkuasaan sejak menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1984. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam SPRM termasuk sebagai Pengarah Bahagian Siasatan, Pengarah Bahagian Perisikan serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi).

Sepanjang kepimpinannya, Azam menekankan pendekatan siasatan yang bebas dan berasaskan bukti, memperkenalkan pembaharuan seperti transformasi digital SPRM melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) dan blok rantai, serta menubuhkan Pasukan Taktikal Khas (ACTS) bagi menangani risiko keselamatan pegawai dan meningkatkan keberkesanan operasi.

Beliau juga aktif memposisikan SPRM di pentas antarabangsa termasuk melalui APEC dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), selain mengetuai siasatan ke atas beberapa kes berprofil tinggi seperti skandal kapal tempur pesisir (LCS) dan kes pengubahan wang haram melibatkan tokoh politik.

Dengan pelantikan semula ini, Azam dijangka meneruskan agenda pembanterasan rasuah negara secara konsisten selari dengan pendekatan Malaysia MADANI yang menekankan nilai integriti dan akauntabiliti dalam pentadbiran negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat