Gamit nostalgia Aidilfitri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hujung minggu lalu, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) cukup meriah menerusi penganjuran majlis rumah terbuka sempena meraikan kehadiran Syawal.

Bagaimanapun, majlis rumah terbuka kali ini agak berbeza berbanding kebiasaannya kerana tiada juadah raya dihidangkan.

Sebaliknya, tetamu disajikan dengan alunan merdu lagu hari raya klasik diberi nafas baharu dan segar dengan suntikan muzik orkestra menerusi penganjuran Konsert Raya Sepanjang Zaman.

Menampilkan persembahan dua bintang legenda, Datuk Hail Amir dan Sanisah Huri, Konsert Raya Sepanjang Zaman juga menyaksikan dua pemilik vokal hebat iaitu Ziana Zain dan Bob Yusof sebagai pelengkap acara.

Sesuai konsep dan nama, konsert diiringi 60 ‘pahlawan’ Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose ini berjaya menggamit nostalgia penonton terhadap kenangan yang pernah dilalui menerusi koleksi lagu disampaikan.

Perasaan sebak dan sayu mengusik jiwa sebaik sahaja mendengar vokal merdu Bob menyampaikan dua lagu melankolik iaitu Dari Jauh Ku Pohon Maaf yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Arshad serta dan Aidilfitri dendangan kumpulan Black Dog Bone.

Kemunculan Hail dan Sanisah yang sememangnya dinantikan turut memberi nilai tambah kepada konsert kerana kedua-duanya memiliki lagu raya yang ikonik dan menjadi pilihan utama untuk diputarkan di corong radio setiap kali lebaran menjelma.

Jika sebelum ini lagu Seloka Hari Raya dinyanyikan bersama Uji Rashid, namun pasangannya pada malam itu adalah Ziana.

 

Sanisah menyanyikan tiga lagu berjudul Aidilfitri, Bersabarlah Sayang dan Suasana Riang Di Hari Raya dendangan asal, Junainah M Amin. - Foto Ihsan DFP
Sanisah menyanyikan tiga lagu berjudul Aidilfitri, Bersabarlah Sayang dan Suasana Riang Di Hari Raya dendangan asal, Junainah M Amin. – Foto Ihsan DFP

 

Seronok melihat keserasian dua penyanyi ini apabila mereka saling mengusik atas pentas, sekali gus menjadikan suasana lebih meriah.

Terdahulu, Ziana yang kelihatan anggun mengenakan busana raya warna ‘lilac’ lengkap berselendang membuka tirai konsert dengan lagu Indah Di Hari Raya.

Lagu lain turut dinyanyikan Hail yang juga pelantun Wajah Kesayangan Hamba ini adalah Menjelang Hari Raya serta medley Dendang Perantau dan Suara Takbir nyanyian asal Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Sebaik sahaja kelibat Sanisah muncul atas pentas, tepukan penonton bergema memenuhi ruang dewan berprestij itu, termasuk jeritan penonton menyatakan perasaan cinta terhadap penyanyi kelahiran Singapura itu.

Pada malam itu, pemilik vokal emas ini menyanyikan tiga lagu berjudul Aidilfitri, Bersabarlah Sayang dan Suasana Riang Di Hari Raya dendangan asal, Junainah M Amin.

Meskipun mengakui gementar hingga mengganggu tumpuan dan berlaku kesilapan ketika beraksi kerana kali pertama menyanyi diiringi orkestra, namun semua itu dimaafkan kerana vokal emas yang dimilikinya mampu menutup segala cela yang ada.

Diakui sama ada menyanyi ataupun bercakap, suara Sanisah tetap merdu dan tidak berubah, meskipun usianya sudah mencecah 71 tahun.

Persembahan pelantun Si Baju Hijau dan Sejakku Bertemu Padamu itu turut mendapat pujian Ahmad Muriz kerana berjaya menghadiahkan momen indah kepada penonton.

“Persembahan Sanisah sangat mengagumkan, terutama ketika menyampaikan lagu Bersabarlah Sayang.

“Kalau orang lain yang nyanyikan lagu itu, belum tentu dapat momen yang sama seperti beliau berikan,” katanya pada sidang media selepas konsert berakhir.

 

Seronok melihat keserasian Hail dan Ziana apabila saling mengusik atas pentas, sekali gus menjadikan
Seronok melihat keserasian Hail dan Ziana apabila saling mengusik atas pentas, sekali gus menjadikan

 

Mendengar kembali susunan muzik lagu yang digubah semula Ahmad Muriz dan rakan, tak dinafikan melodi yang sudah sedia indah itu menjadi lebih bernilai dan bertaraf antarabangsa menerusi kreativiti yang dipamerkan.

Sepanjang dua jam beraksi, penonton turut dihiburkan dengan lagu raya malar segar iaitu Satu Hari Di Hari Raya, Salam Dunia serta untaian indah milik Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini berjudul Selamat Hari Raya dan Hari Raya.

Tirai konsert ditutup dengan nyanyian beramai-ramai lagu Joget Aidilfitri, sekali gus menjadikan DFP seperti pentas ronggeng apabila penonton bersikap sporting dengan menari dan menyanyi bersama-sama.

Konsert Raya Sepanjang Zaman adalah sebahagian dari acara sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan MPO.

Turut hadir menyaksikan konsert itu adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat