KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan jumlah sitaan sebanyak RM483,386,441 dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, dengan nilai sitaan tertinggi melibatkan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah sitaan berkenaan dicatatkan dari 1 Januari hingga 31 Mac lalu di bawah Akta SPRM 2009.
“Untuk kes Datuk Seri Ismail Sabri, kita telah sita sebanyak lebih kurang RM177 juta, yang telah saya tunjukkan dalam sidang akhbar baru-baru ini tentang jumlah yang kita telah sita merupakan wang tunai dan termasuk jongkong emas itulah yang termasuk dalam RM487 juta ini.
“Paling besar sitaan sekarang ini adalah kes Datuk Seri Ismail Sabri, iaitu RM177 juta.
“Itu jumlah yang paling besar sitaan kes,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Sabah, lapor Sinar Harian di Kota Kinabalu.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah aset dan wang yang dibekukan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan serta Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 adalah sebanyak RM548,978,525.
Tambahnya, setakat ini, jumlah aset yang telah dilucut hak dan dimasukkan ke dalam akaun kerajaan di bawah ketiga-tiga akta berkaitan termasuk Akta Tatacara Jenayah adalah sebanyak RM603,363.29.
“Ini menunjukkan bahawa kami sedang giat berusaha untuk menyelesaikan kes-kes lain bagi tujuan pelucutan hak sama ada secara rasmi mahupun melalui penalti dan kompaun, di mana setakat ini jumlah penalti atau kompaun yang telah berjaya dikutip adalah sebanyak RM412,000,” katanya.
Mengulas lanjut, Azam berkata sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 319 kertas siasatan telah dibuka oleh SPRM.
“Jumlah tangkapan yang dibuat adalah seramai 401 individu, manakala 146 individu telah dituduh di mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha SPRM dalam menyelesaikan kes dilakukan secara berterusan, bukan sahaja bagi tujuan pendakwaan, tetapi juga pemulihan aset.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga memaklumkan Ismail Sabri tetap akan dipanggil semula ke SPRM sekiranya dalam tempoh dua minggu pihaknya masih belum mengemukakan dokumen yang diperlukan agensi tersebut.
Azam berkata, peringkat fasa pertama siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu telah dilaksanakan dan kini beralih kepada fasa seterusnya untuk dipanggil semula dalam tempoh dua minggu.
“Sekarang kita akan memanggil beliau lagi. Dalam tempoh terdekat saya sudah arahkan dalam tempoh dua minggu. Beliau akan ditanya pula berhubung pengisytiharan harta yang masih belum selesai lagi dan beliau telah diminta untuk membekalkan dokumen tertentu untuk menyokong sebarang pembelaan beliau.
“Kita sedang menunggu dokumen berkenaan tapi apa-apa pun saya telah memberi kenyataan bahawa sekiranya sampai tempoh dua minggu masih lagi tidak dibekalkan dokumen, beliau akan dipanggil untuk memperjelaskan antara lain tentang dokumen berkenaan kenapa begitu lambat dan sebagainya.
“Kami tidak boleh menunggu begitu lama, jadi tanggungjawab beliau sama ada boleh atau tidak kita perlu tanya,” katanya.
Difahamkan, proses merekod keterangan itu akan memasuki fasa yang menumpukan pengisytiharan harta.
Ismail Sabri kali terakhir dirakam keterangan pada 24 Mac lalu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 3 Mac, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah ‘safe house’ berikutan serbuan yang dilakukan pihaknya.