KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa beliau telah dilabel dan ditandai sebagai “TCO” dalam sistem kawalan sempadan, oleh satu pihak cawangan khusus.
Tindakan itu seolah-olah beliau ini adalah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster, atau persona non grata di tanah air sendiri.
“Sudah tentu saya sangat kecewa dengan keadaan ini. Ia bukan sekadar label, tetapi saya di “tahan” dan dibawa ke tepi, satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan, untuk setiap kali keluar-masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024.
“Dalam sistem keselamatan negara, “TCO” merujuk kepada “Travel Control Office/ Order” oleh pihak berkuasa satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.
“Status ini membolehkan segala pergerakan, komunikasi, dan interaksi seseorang dipantau secara menyeluruh, senyap, dan berterusan. Ia dilaksanakan atas nama “untuk keselamatan negara” atau “untuk kestabilan politik”, tetapi realitinya sering digunakan sebagai alat politik dan cara mudah untuk untuk mengumpul maklumat politik pihak lawan, sebagai usaha untuk mengawal dan menekan suara tertentu.
“Ke mana saya pergi, siapa yang saya temui, dan apa yang saya perbualkan semuanya menjadi perhatian pihak tertentu dan perlu dilaporkan oleh satu cawangan khusus kepada pihak political master atau operator utamanya.
“Inilah realiti harian yang saya hadapi. Dengan perkembangan teknologi canggih hari ini, mereka mungkin juga cuba mengetahui isi perbualan saya dengan individu tertentu, terutama pimpinan politik,” dakwanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Dalam perkongsian itu juga Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman juga memaklumkan telefon beliau juga turut dipintas.
“Adakah saya diikuti ke mana-mana saya pergi, walaupun atas urusan peribadi ? Sudah tentu. Tanpa ada keraguan.
“Bagaimana saya tahu semua ini ? Sebenarnya, kita tidak perlu pun menjadi pintar untuk mengenal pastinya, dengan beberapa ujian dan umpanan mudah, perkara akan jelas seperti siang yang terang benderang.
“Kita tidak perlu mempunyai ilmu counter-surveillance untuk mengenal pasti anasir yang memantau kita kerana kehadiran operatif dan elemen mereka adalah sangat ketara dan mudah dikenal pasti menerusi pemilihan kenderaan yang mereka gunakan, kereta yang statik, cara mereka berkomunikasi, pejalan kaki (spotter), dan sebagainya,” ujarnya.
Adun Ru Rendang itu mempersoalkan tindakan sedemikian mengapa perlu sampai ke tahap itu?
“Ini berlaku adalah hanya untuk meredakan paranoia segelintir pihak, yang tanpa ada keperluan untuk merasakan tidak stabil dan terancam.
“Negara yang benar maju demokrasi dan institusinya, mempunyai ruang kawalan di bawah Parlimen seperti “Jawatanakusa Terpilih Risikan ” sebagai kuasa pengawal (oversight) untuk menghalang salah guna kuasa jentera dan aset kerajaan terutama oleh pihak berkepentingan politik dan kewangan.
“Dalam hal ini, sudah ada rakan Ahli Parlimen yang ingin membangkitkan salah guna kuasa TCO dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang.
“Selain saya, dimaklumkan bahawa ada seorang lagi tokoh utama pembangkang yang juga berdepan dengan label tier TCO ini. Sudah tentu saya dan rakan berkenaan tidak akan berdiam diri.
“Penyalahgunaan sumber kerajaan sebagai senjata politik seperti ini satu trend yang merosakkan kebebasan peribadi dan merubah struktur negara yang sepatutnya bersifat adil.
“Jika ini dibenarkan berleluasa, saya tidak hairan jika instrumen yang sama juga sedang digunakan terhadap orang awam, NGO, badan bebas, dan sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah. Mungkin sedang digunakan pada masa ini.
“Dan seperti biasa, alasan yang diberi adalah “demi keselamatan negara” dan ianya adalah untuk kepentingan awam walaupun hakikatnya ia hanyalah demi kelangsungan politik semata-mata,” katanya.
Menurut beliau lagi, negara ini tidak akan maju jika suara yang berbeza terus dibungkam, dan kuasa digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat.
“Sudah tiba masanya kita membina budaya politik yang lebih matang, terbuka, dan sejahtera di mana perbezaan pandangan bukan satu ancaman, tetapi asas kepada demokrasi yang sihat dan aktif.
“Hanya dengan keberanian untuk berubah dan keterbukaan menerima pandangan yang pelbagai, barulah kita dapat melangkah ke arah sebuah Malaysia yang lebih adil, inklusif, dan benar-benar sejahtera untuk semua etnik, bangsa dan anutan agama yang ingin hidup dalam keamanan dan Malaysia yang sejahtera,” ujar Samsuri.