KUALA LUMPUR – ASEAN telah mencapai konsensus untuk tidak bertindak balas terhadap tarif yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke atas negara anggotanya, sebaliknya lebih menekankan kepentingan dialog yang telus dan konstruktif.
Dalam satu kenyataan bersama pada Khamis, Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) mengulangi pendirian bahawa sejarah hubungan ASEAN dan AS yang melebihi empat dekad, telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, keamanan dan kestabilan, serta serta pelaburan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Menurut AEM lagi, mereka bagaimanapun mengambil maklum tindakan unilateral AS mengenakan tarif minima dan tarif timbal balas telah mewujudkan cabaran signifikan terhadap perdagangan serantau dan global, aliran pelaburan, termasuk rantaian bekalan, terutamanya kepada perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).
“Melihat kepada perkembangan ini, kami menzahirkan hasrat bersama kami untuk terus mengadakan dialog yang telus dan konstruktif dengan pihak AS untuk menangani kebimbangan berhubung perdagangan.
“Komunikasi terbuka serta kerjasama apat penting bagi memastikan hubungan yang terjalin terus seimbang dan mampan. Berdasarkan semangat itu, ASEAN komited untuk tidak mengenakan sebarang langkah timbal balas terhadap pelaksanaan tarif AS,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dicapai selepas kumpulan Menteri berkenaan mengadakan mesyuarat secara atas talian, yang dipengerusikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz pada pagi Khamis.
Media sebelum ini melaporkan, Trump telah mempertimbangkan penangguhan 90 hari bagi tarif timbal balik yang dikenakan ke atas rakan dagang negara itu “sejak beberapa hari lalu” dengan memetik penglibatan diplomatik dan muhibah sebagai faktor di sebalik langkah tersebut.
Pengumuman itu dibuat pada hari yang sama beliau menaikkan tarif AS ke atas import China kepada 125 peratus.
Negara anggota wilayah Indochina ASEAN paling teruk terjejas akibat tarif AS, dengan Kemboja dikenakan tarif berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus), dan Myanmar (44 peratus).
Manakala Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia kedua-duanya 24 peratus, Filipina 17 peratus dan Singapura pada tarif asas 10 peratus.
Susulan perkembangan terbaharu itu, Tengku Zafrul dalam perkongsian di laman media sosialnya berkata, Malaysia mengalu-alukan langkah tersebut, namun mengakui, ketidaktentuan ini mewujudkan cabaran besar terhadap ekonomi ASEAN.
“Malaysia sedang giat menilai implikasi daripada perubahan ini dan kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN dalam mengurangkan gangguan, memperkukuhkan daya tahan ekonomi serantau, dan memperjuangkan hubungan perdagangan yang seimbang serta stabil,” katanya.
Dalam pada itu AEM berkata, mereka mengulangi pendirian untuk terus bekerjasama dengan AS di bawah Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-AS (TIFA), dan Peluasan Rundingan Ekonomi (E3) untuk meneroka penyelesaian terhadap isu kepentingan bersama.
“Ini termasuk memudahcara perdagangan dan pelaburan dua hala, mengukuhkan perkongsian strategik pelaburan, dan meluaskan lagi kesalinghubungan dan daya tahan rantai bekalan melalui inovasi dan teknologi digital, yang boleh mempromosi kerjasama serantau yang lebih kukuh.
“ASEAN percaya dengan kerjasama ekonomi ASEAN-AS yang teguh dan memandang ke hadapan, ia dapat menyumbang kepada kemakmuran rakyat ASEAN serta ekonomi global,” katanya lagi.
AEM berkata, rangka kerja sedemikian boleh mengukuhkan rundingan yang konstruktif, menyuburkan rantai bekalan serantau, serta memacu inisiatif inovatif untuk memastikan hubungan ekonomi yang mampan, terjamin, stabil, serta membawa manfaat bersama.
Tambahnya lagi, tumpuan akan diberikan kepada sektor bernilai tinggi, seperti perkhidmatan digital dan industri berasaskan pengetahuan; makanan; pertanian dan perhutanan; teknologi hijau dan boleh diperbaharui; pembuatan dan elektronik lebih maju; pakaian dan kasut; barangan pengembaraan; bioteknologi dan penjagaan kesihatan; serta peralatan dan produk pengangkutan.