Kuala Lumpur: Pihak pengarah Syamsul Yusof, 39, sudah terlebih dulu memaklumkan kepada hakim bahawa kata sepakat untuk ceraikan isteri pertamanya Puteri Sarah Liyana, 38, secara baik sudah dicapai semalam.
Peguamnya, Azmi Mohd Rais berkata mereka juga sudah membuat draf untuk penyelesaian lanjutan terhadap kes mereka tanpa mengambil kira sebarang keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP), hari ini.
“Sepatutnya hari ini untuk menerima keputusan JKP bagi sesi yang sudah dijalankan sebelum ini. Sebelum ia berlaku, kami terdahulu maklumkan kepada hakim bahawa kedua pihak sudah berjumpa sesama sendiri malam semalam.
“Mereka sudah mencapai beberapa kata sepakat mengenai penyelesaian atau perceraian. Kami baharu mendapat terma pagi tadi dan terus membuat draf perjanjian.
“Lalu kami sudah serahkan draf itu untuk pengesahan tertakluk kepada persetujuan,” katanya.
Azmi berkata Syamsul juga memang ingin selesaikan secara baik kemelut itu selepas perbincangan dibuat kedua pihak.
“Insya Allah begitulah cerita dia dengan perjanjian terbabit. Yang merangkumi semua hak-hak isteri, nafkah anak-anak dan juga kes-kes lainlah.
“Saya tak nak komen lebihlah, minggu depan kamu akan tengoklah keputusan itu,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 18 April ini untuk pengarah filem Syamsul melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh itu, selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian antara kedua-dua pihak.
Bagaimanapun terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh terbabit yang mana ia akan direkodkan.
Antaranya adalah membabitkan hadanah (hak jagaan anak), nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.
Harian Metro