Siasat Jualan Studio Iskandar Malaysia

- Advertisement -

Oleh Ab Jalil Backer

Beberapa hari lalu media luar negara melaporkan penjualan kompleks produksi filem dan televisyen, Iskandar Malaysia Studios (IMS), dengan harga RM32 juta kepada Singapura GHY Culture & Media.

Penjualan ini adalah sesuatu yang mengejutkan dan menimbulkan banyak persoalan untuk dijawab oleh Khazanah Nasional Berhad.

Persoalan-persoalan penting mengapa ia gagal, mengapa ia dijual dengan harga begitu murah berbanding kos pembangunan dan keluasan tanah;  dan mengapa dijual kepada syarikat asing?

Kompleks yang merupakan state-of-the-art  kepada industri penerbitan filem dan televisyen negara ini telah dibina dengan kos pelaburan lebih RM500 juta ringgit oleh Khazanah Nasional. Penganalisis industri menganggarkan kos pembangunannya antara RM528 juta hingga RM748 juta.

Semua ini bermula pada 2009 apabila Khazanah Nasional, melalui anak syarikat milik penuhnya Beserah Ventures Sdn. Bhd. (BVSB), memerterai perjanjian dengan Pinewood Shepperton plc (Pinewood) bagi membangunkan sebuah studio canggih di Iskandar Malaysia.

Khazanah Nasional, dalam kenyataan media semasa memerterai perjanjian kerjasama itu, meyakinkan rakyat bahawa studio ini akan menjadi tumpuan produksi Asia Pasifik dan kemudiannya antarabangsa berdasarkan kecanggihan teknologi dan kerjasama dengan Pinewood.

Pada asalnya studio ini menggunakan nama Pinewood Iskandar Malaysia Studios (PIMS). Ini sebagai satu penjenamaan prestij bersama studio Pinewood yang mempunyai lebih 80 tahun sejarah penggambaran.

Pinewood menjadi tuan rumah kepada sekitar 1,500 produksi, termasuk francais sensasi seperti siri James Bond dan Harry Potter, dan filem blockbuster seperti Mission: Impossible, Batman Begins, The Da Vinci Code, Slumdog Millionaire dan terbaharu termasuk Ant-Man And The Wasp: Quantumania dan The Little Mermaid.

Kerjasama dengan Pinewood, pengendali studio bebas tertua dan terbesar di dunia, itu akan membolehkan Malaysia mendapat manfaat daripada reputasi Pinewood dan rangkaian luas di AS dan Eropah. Ini akan meletakkan PIMS dalam kedudukan yang kukuh untuk menembusi pasaran filem dan TV di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun pada 2019, hubungan antara Pinewood dan Khazanah telah berakhir tanpa sesiapa memahami sebab sebenar. Apa yang diketahui hanyalah kedua-dua pihak bersetuju menamatkan kerjasama dan studio ini telah dijenamakan semula sebagai Iskandar Malaysia Studios.

Penjualan meragukan

Apabila mengumumkan pembinaan studio ini, Khazanah Nasional dengan bangga menjanjikan manfaat ekonomi dan sosial yang ketara kepada Iskandar dan Malaysia.

Ia mengunjurkan impak ekonomi sekitar RM1 bilion dalam impak ekonomi bagi tempoh lapan tahun selepas beroperasi, bakal mewujudkan 3,000 pekerjaan langsung dan berpotensi menambah 5,000 pekerjaan tidak langsung setahun; serta meningkatkan penerbitan filem dan penggambaran TV asing.

Namun selepas 8 tahun ia bukan sahaja gagal memberi nilai tambah kepada ekonomi negara, malah menjadi misteri perniagaan yang sukar difahami oleh rakyat biasa.

Dibina dengan kos lebih setengah bilion ringgit atas tanah keluasan 20 hektar, kini dijual dengan harga RM32 juta kepada sebuah syarikat asing.

Harga ini tidak munasabah walaupun untuk keluasan tanah studio sebesar 20 hektar; apatah lagi untuk keseluruhan nilai pembangunan dan teknologi yang telah dibuat.

Saya fikir rakyat terutama mereka yang di dalam industri penerbitan televisyen dan filem berhak tahu mengapa pembinaan studio yang dibuat menggunakan dana kekayaan negara; yang diurus oleh profesional yang menerima gaji puluhan dan ratusan ribu sebulan dari Khazanah, akhirnya bukan sahaja gagal mencapai matlamat, malah terpaksa dijual dengan ‘harga lelong’.

Semudah itukah mereka melepaskan diri dari kegagalan dan kerugian?

Malahan keputusan selepas kedudukan rugi pun sangat menyedihkan. Setelah gagal mencatatkan keuntungan, Studio ini sepatutnya diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sahaja untuk menguruskan.

Ini pasti akan membantu mengurangkan kos produksi filem tempatan yang berkualiti dan memberi peluang lebih ramai penerbit filem menggunakan teknologi terbaik dengan harga yang rendah.

Adalah tidak masuk akal kerajaan melabur beratus juta hanya untuk diambil alih oleh syarikat asing dengan harga tidak sampai sepuluh peratus dari harga pembangunan.

Khazanah Nasional mungkin ada rasional tersendiri dalam penjualan ini dan ia perlu dijelaskan kepada umum. Ahli Parlimen harus turut mengambil bahagian meneliti keputusan penjualan ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat