CYBERJAYA – Kereta dipercayai milik aktivis yang dikenali sebagai Cikgu Chandra dilaporkan terbakar dalam satu kejadian awal pagi tadi, menurut kenyataan yang dimuat naik oleh pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung di Facebook.
Dalam hantaran tersebut, beliau mendakwa beberapa lelaki bertopeng penuh dan bersenjatakan parang cuba menyerang Cikgu Chandra pada petang sebelumnya.
Menurut Firdaus Wong, sekitar jam 3 pagi tadi, individu yang sama dipercayai kembali dan membakar kereta milik Cikgu Chandra yang berada di hadapan rumahnya.
Video yang dimuat naik bersama kenyataan itu menunjukkan sebuah kereta sedang marak terbakar, manakala dua lagi kenderaan turut dilihat mengalami kerosakan akibat kebakaran.
Rakaman tersebut turut memaparkan kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang berada di lokasi bagi memadamkan kebakaran serta mengawal keadaan.
Firdaus Wong dalam kenyataannya turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap pihak yang didakwanya sebagai penghasut dan pelampau.
“Kita tidak boleh biarkan pelampau begini berleluasa. Ini negara hukum,” katanya sambil memohon pihak polis menangkap individu yang terlibat.
Beliau turut mendakwa dua daripada tiga kereta tersebut berjaya dipadamkan dengan cepat hasil tindakan pantas pasukan bomba.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis berhubung kejadian tersebut.



