KUANTAN: Penjawat awam negeri Pahang akan bekerja separuh hari setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan ini.
Menurut Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, penepatan waktu bekerja ini adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
“Kerajaan Negeri Pahang memaklumkan bahawa waktu bekerja penjawat awam Negeri Pahang pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini ditetapkan sehingga jam 12.30 tengah hari.
“Penetapan waktu bekerja ini adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
“Penetapan ini turut melibatkan semua jabatan negeri, Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri,” kata Wan Rosdy menerusi kenyataan Facebooknya, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mula Tuanku atas keprihatinan dan kecaknaan terhadap kesejahteraan patik-patik sekalian.
“Patik pacal-pacal Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga akan terus beriltizam untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan juga Negeri Pahang Darul Makmur demi kemakmuran bersama,” ujarnya lagi.
Terdahulu, hari ini (10 Mac) bersamaan 29 Syaaban 1445H ditetapkan sebagai tarikh melihat anak bulan Ramadan untuk mengisytiharkan tarikh permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia, tahun ini.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan pada 06 Mac memaklumkan bahawa Majlis Raja-Raja telah bersetuju cara menetapkan tarikh permulaan puasa itu adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Katanya, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan tarikh permulaan puasa pada malam itu melalui melalui siaran radio dan televisyen.
Menurut kenyataan itu lagi, jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan untuk melihat anak bulan Ramadan pada petang hari berkenaan di 29 lokasi di seluruh negara.