KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd dijangka akan disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong Ltd (HKEX) pada Mei atau Jun tahun ini, tempoh yang tepat bergantung kepada faktor seperti proses penilaian HKEX, kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan dan situasi pasaran.
Pada 26 Feb, 2021, Top Glove mengumumkan pelannya untuk melaksanakan langkah penyenaraian utama dua di papan utama HKEX untuk meraih sehingga RM7.7 bilion; dan RM4.61 bilion akan digunakan untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya dan pembangunan sistem pembuatan yang dipacu data
Menyifatkan pelan penyenaraian itu sebagai tepat pada masanya, Pengarah Eksekutif Lim Cheong Guan menolak kebimbangan mengenai pencairan pendapatan dan dividen saham sedia ada untuk pemegang saham pengeluar sarung tangan tersebut.
“Kumpulan telah menyaksikan keuntungan yang kukuh sejak beberapa suku tahun yang lepas, serta pencairan pendapatan sesaham (EPS) dan dividen sesaham (DPS) akan dapat dikurangkan melalui keuntungan yang kukuh dan pembayaran dividen yang dicadangkan pada suku kedua hingga suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2021,” katanya.
Lim berkata demikian pada taklimat mengenai keputusan suku kedua tahun kewangan berakhir 28 Feb, 2021 syarikat secara maya pada Selasa.
Dalam makluman bursa hari ini, Top Glove berkata keuntungan bersihnya meningkat lebih 24 kali ganda kepada RM2.87 bilion pada suku kedua 2021 daripada RM115.68 juta pada suku kedua 2020, manakala perolehan melonjak 336 peratus kepada RM5.37 bilion daripada RM1.23 bilion sebelum ini.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 28 Feb, 2021, keuntungan bersihnya mencecah RM5.23 bilion, kira-kira 22 kali ganda daripada RM227.11 bilion pada tahun lepas, manakala perolehannya dalam tempoh tersebut naik kepada RM10.12 bilion daripada RM2.44 bilion sebelum ini.
Menurut Lim, HKEX adalah pasaran yang besar dan aktif, iaitu permodalan pasarannya 15 kali lebih besar daripada Bursa Malaysia dan 10 kali lebih besar daripada Singapore Exchange Ltd (SGX).
“Kesan pencairan adalah sama ada pengumpulan dana dilaksanakan di Bursa, SGX atau HKEX.
“Bagaimanapun, cadangan penyenaraian tambahan di HKEX turut bertujuan meningkatkan profil Top Glove di China, yang sejajar dengan strategi keseluruhan kami untuk meneroka pengembangan perniagaan dan peluang strategik di China atau Asia Utara,” katanya.
Beliau berkata penyenaraian HKEX turut menyasarkan untuk menarik kumpulan pelabur baharu dari Asia Utara, yang tidak melabur di Bursa Malaysia atau SGX.
Ditanya alasan Top Glove merancang untuk meraih tunai melalui terbitan sehingga 1.5 bilion saham baharu di HKEX apabila syarikat mempunyai tunai yang banyak, Lim berkata situasi semasa adalah tepat untuk syarikat mengumpulkan dana melalui ekuiti berikutan penilaian harga saham syarikat berada pada nilai yang baik.
“Tunai sedia ada daripada pendapatan yang kukuh dari beberapa suku tahun yang lepas akan digunakan untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham sedia ada melalui dividen, berikutan kami berhasrat untuk meningkatkan pembayaran dividen kami kepada 70 peratus pada suku kedua 2021 hingga suku keempat 2021 dengan dividen khas, seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya.
Ditanya sama ada Top Glove akan terus memulakan pembayaran dividen khas selepas suku keempat 2021, Pengerusi Eksekutif Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata ia bergantung kepada keadaan pasaran pada masa depan.
Mengenai pembelian balik saham syarikat, Lim Cheong Guan berkata langkah itu dilakukan untuk memaksimumkan pulangan dan nilai pemegang saham.
“Kami telah menjalankan pembelian balik saham pada masa kami menganggap penilaian kami rendah berdasarkan pendapatan yang kukuh, selain hasil dividen yang tinggi berbanding faedah dalam simpanan tetap atau penempatan pasaran wang,” katanya.
Mengenai perkembangan larangan import oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat, Pengarah Urusan Datuk Lee Kim Meow berkata syarikat telah mengemukakan pelan tindakan pembetulannya untuk semakan dan kelulusan CBP.
“Berdasarkan pengesahan yang dijalankan oleh perunding bebas mengenai kemajuan kami dalam melaksanakan pelan tindakan pembetulan, pendapat perunding bebas sehingga Januari 2021 adalah bahawa, tiada buruh paksa sistematik dalam kumpulan,” katanya.
Dalam negara, Lee berkata sehingga Februari 2021, Top Glove telah mematuhi syarat jarak, bilik mandi dan kemudahan lain daripada Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Mengenai masa depan, Lim Cheong Guan berkata kumpulan dijangka menyaksikan prestasi yang lebih kukuh pada separuh kedua 2021, disokong oleh tambahan kapasiti baharu daripada pengembangan yang berterusan, penggunaan kilang yang lebih tinggi, permintaan kukuh, purata harga jualan lebih tinggi dan kos bahan mentah yang rendah.
– BERNAMA