CYBERJAYA – UMNO menegaskan pendiriannya yang terbuka untuk menerima semula mana-mana individu yang ingin kembali menyertai parti itu, termasuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang ketika ini berdepan kemungkinan tindakan disiplin daripada partinya.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendekatan terbuka itu selaras dengan gagasan Rumah Bangsa yang diwujudkan bagi menyatukan kembali orang Melayu di bawah satu wadah politik yang kukuh dan berpengalaman.
Menurut Zahid, gagasan berkenaan tidak bersifat eksklusif dan terbuka kepada mana-mana individu atau kumpulan yang ingin menyertai atau kembali kepada UMNO.
“Sebagaimana objektif penubuhan Rumah Bangsa, ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin kembali atau menyertai UMNO, sama ada secara individu mahupun berkumpulan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO kekal sebagai platform perjuangan bagi mereka yang mahu memperjuangkan kepentingan orang Melayu dalam kerangka politik yang stabil.
“UMNO ialah tempat untuk ahli UMNO atau sesiapa sahaja yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Zahid berkata UMNO memilih pendekatan inklusif sebagai asas untuk menyatukan kembali kekuatan politik Melayu, khususnya ketika landskap politik semasa berdepan pelbagai cabaran.
Untuk rekod, Hamzah merupakan antara enam Ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan parti itu pada 14 Disember 2018, susulan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Zahid pada ketika itu.
Ketika ini, Bersatu dilaporkan sedang berdepan krisis dalaman, dengan nama Hamzah dikaitkan sebagai antara pemimpin yang berkemungkinan dikenakan tindakan disiplin termasuk pemecatan.
Hamzah juga dilaporkan telah dipanggil menghadap lembaga disiplin parti itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penglibatannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu serta serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.



