Bersatu Maran kekal sokong Muhyiddin, hilang kepercayaan terhadap Hamzah – Jasri

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran menggesa supaya Datuk Seri Hamzah Zainudin dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat daripada parti bagi meredakan kemelut dalaman Bersatu yang semakin memuncak.

Ketika dihubungi Suara TV, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang, Datuk Jasri Jamaludin berkata, tindakan segera perlu diambil demi memastikan kestabilan parti dapat dipulihkan dan perpecahan dalaman tidak terus berlarutan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul berkata, gesaan itu selari dengan memorandum yang dikemukakan oleh sekumpulan pemimpin bahagian Bersatu yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Hamzah, yang didakwa menjadi dalang kepada usaha menjatuhkan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta mencetuskan perpecahan dalam parti.

“Dalam memorandum itu jelas dinyatakan mereka telah hilang kepercayaan sepenuhnya terhadap Hamzah yang didakwa cuba menjatuhkan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin serta menimbulkan perpecahan dalam Bersatu. Ini bukan isu kecil dan tidak boleh dipandang ringan.

“Jika kita benar-benar mahu menyelamatkan Bersatu, kepimpinan parti perlu bertindak tegas dan adil demi memastikan perpaduan parti dapat dipulihkan serta kepercayaan ahli-ahli akar umbi dapat dikembalikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Jasri menegaskan bahawa isu berkenaan bukan perkara baharu dan telah lama berlaku sejak tahun lalu.

“Perkara ini bukan baharu dan sudah lama berlarutan sejak tahun lepas. Sudah wujud gerakan tertentu yang cuba memaksa Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan supaya Datuk Seri Hamzah boleh mengambil alih jawatan Presiden Bersatu.

“Sebab itu saya berpandangan memang patut Datuk Seri Hamzah dikenakan tindakan. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia menjejaskan kestabilan parti dan membuka ruang kepada perpecahan dalaman yang lebih serius,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan tindakan disiplin tegas perlu diambil bagi mengelakkan krisis dalaman parti menjadi lebih parah.

Dalam pada itu beliau turut mengulas kenyataan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang meminta kepimpinan parti tidak berdrama di media, sebaliknya bertindak tegas terhadap Ahli Parlimen Larut itu, Jasri berkata pemimpin muda tersebut tidak wajar menuding jari kepada pihak lain sedangkan beliau sendiri berdepan isu dalaman.

“Wan Ahmad Fayhsal ini sendiri ada masalah.
Isu di Machang sebelum ini pun masih diperkatakan, termasuk dakwaan berkaitan penipuan akuan bersumpah (SD).

“Jadi sebelum mahu bercakap soal disiplin dan kesetiaan parti, lihat diri sendiri dahulu,” katanya.

Sehubungan itu, Jasri turut menyatakan sokongan penuh terhadap Tan Sri Muhyiddin untuk terus menerajui Bersatu dan Perikatan Nasional, sambil menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan parti akan menyelesaikan isu berbangkit dalam masa terdekat.

“Saya menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin untuk terus memimpin Bersatu dan Perikatan Nasional. Saya percaya segala isu berbangkit termasuk soal kepimpinan akan dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Hamzah telah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung memorandum berkenaan, Jasri berkata setakat ini beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang maklum balas rasmi.

“Setakat yang saya tahu, belum ada sebarang kenyataan daripada beliau. Memorandum itu pun baru diserahkan,” katanya.

Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memuncak susulan memorandum bertarikh 5 Februari yang dikemukakan oleh pemimpin bahagian Bersatu Negeri Sembilan kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendesak supaya Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipecat.

Memorandum tersebut menyatakan hilang kepercayaan terhadap Hamzah yang didakwa cuba menjatuhkan kepimpinan parti serta mencetuskan perpecahan dalaman.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat