Beza Hanya Satu Kerusi, Johor Ambil Pendekatan Berdasarkan Reaksi dan Situasi – MB

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Jumlah majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang hanya berbeza satu kerusi dimiliki kerajaan kini akan menjadi elemen yang dipertimbangkan sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) mahu diadakan.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya perlu mengambil pendekatan secara berperingkat dalam menentukan keputusan termasuk reaksi dan situasi terkini politik negeri.

“Saya berpendapat perlu melihat keadaan apabila kerajaan (negeri) kini hanya mempunyai satu majoriti. Walaupun semua suka jadi nombor satu tetapi Johor mungkin tidak suka dengan satu itu (majoriti kerusi DUN).

“Kalau ada pihak mengatakan bila nak buat PRN atau kemungkinan dah ada tarikh untuk PRN, seingat saya sebagai Menteri Besar saya tidak pernah umumkan sebarang keputusan selain hanya melihat (apa-apa) kemungkinan apabila kerajaan Johor hanya memiliki satu majoriti sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Anugerah Keusahawanan Johor 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, pada Isnin.

Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor bagaimanapun tidak menyatakan sebarang pendirian khusus ketika ditanya sama ada khabar angin PRN Johor akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Katanya, meskipun tidak selesa dengan keadaan terkini DUN yang hanya mempunyai kelebihan satu kerusi, sokongan daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang masih stabil.

“Kita perlu melihat gambaran bahawa sokongan berubah atau pun sekiranya ada agenda yang perlu dibawa dan memerlukan sokongan dewan negeri, bahawa perkara itu boleh atau tidak boleh diperoleh.

“Ini antara perkara yang saya maksudkan perlu dilihat bagaimana reaksi keadaan di bawah kerajaan yang hanya mempunyai satu majoriti. Buat masa ini, sokongan rakan dalam kerajaan, saya percaya tidak ada yang berbangkit,” katanya.

DUN Johor kini menyaksikan kerajaan sedia ada dipimpin Hasni hanya memiliki kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding 27 kerusi milik pembangkang selepas ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,612FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat