KUALA TERENGGANU – Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim meluahkan rasa hairan terhadap sikap Umno yang seolah-olah bimbang imej mereka terjejas apabila isu tanah milik kerajaan negeri yang dimajukan sebagai ladang Felda/FGV cuba diselesaikan oleh Kerajaan Terengganu pimpinan PAS.
Azman mendakwa mungkin hasrat Umno adalah untuk melihat Pas terbelit dengan isu berkenaan.
“Dalam hidup ini, kalau tak mampu jadi garam maka jangan jadi langau. Saya pun tak faham kenapa Umno rasa tersakiti. Dari awal menguruskan kes Felda ini, kita tak pernah langsung sentuh Umno. Malah kita berterima kasih dengan kenyataan bekas Menteri Besar.
“Walau ada usaha untuk nak cover balik dengan laporan polis dan pelbagai penafian, hakikatnya kenyataan bekas MB straight forward sahaja. Datuk Seri Ahmad Said maklumkan, zaman dia mentadbir dulu, tanah seluas kira-kira 15,000 hektar yang diberi kepada Felda tak ada hak milik.
“Sebab apa tak ada hak milik? Sebab Felda tak mematuhi syarat. Bila tak ada geran hak milik bermakna ia masih tanah kerajaan. Bekas MB menggunakan istilah, Felda membangunkan tanah secara haram. Lebih keras dari istilah saya, Felda menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.
“Apakah peraturan tanah zaman bekas MB dan sekarang sudah berbeza? Jawabnya, tidak! Apakah syarat yang tidak dipatuhi semasa bekas MB mentadbir telah dipatuhi sekarang oleh Felda? Jawabnya, tidak! jelas Azman dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Menurut Adun Jabi itu, kalau dulu, apabila Felda tidak ada geran hak milik maka ia masih berstatus tanah kerajaan maka apakah sekarang sudah jadi tanah Felda? Jawabnya, tidak.
Tegas AJK Pas Pusat itu lagi, fokus Kerajaan Terengganu dari dulu lagi ialah untuk menyelesaikan isu dengan Felda.
“Tak ada sebaris ayat pun nak ajak Umno berkonfrantasi. Malah kita berterima kasih atas usaha perundingan yang telah dimulakan oleh pemimpin Umno dulu.
“Berulang kali saya nyatakan, kita hanya menyambung kerja yang belum selesai.
“Alhamdulillah, dengan langkah tegas penghantaran notis 425 KTN, keadaan telah banyak berubah. Pengurusan tertinggi Felda mengajak Kerajaan Negeri kembali ke meja rundingan. Banyak persetujuan awal telah disepakati secara dasar.
“Felda telah menunjukkan keseriusan untuk menyelesaikan isu lapuk ini seberapa segera. Beberapa tuntutan Kerajaan Negeri telah dibincangkan seadilnya.
“Bila situasi ini wujud, maka apakah ia suatu keadilan untuk Kerajaan Negeri terus berkeras dan bertegas tanpa kompromi? Jawabnya, tidak.
“Langkah menyambut perdamaian dari Kerajaan negeri ialah dengan menimbang permohonan Felda untuk menyambung tempoh remedi dan memberikan keizinan untuk FGV mengoperasikan semula ladang walaupun Notis 425 KTN masih berkuatkuasa.
“Dalam berunding, kita perlu ada sikap memberi dan menerima. Kalau sikap ‘keras keng’ itu tak dinamakan berunding,” ujar Azman.
Kata beliau lagi, dalam keadaan yang semakin tenang dan cahaya mula kelihatan di hujung terowong, Umno terus nak jadi langau walaupun kita tak pernah minta pun bantuan mereka.
“Tapi rakyat melihat, kalau Umno duduk diam-diam maka itu lebih bijak. Tak apalah kalau tak ada semangat patriotik pun, asalkan tak jadi beban kepada pihak yang nak menyelesaikan permasalahan.
“Saya pun tak faham kenapa Umno merasakan bila isu ini selesai maka ia akan merosakkan imej mereka. Hasrat mereka nak tengok Pas terbelit dengan isu.
“Kalau begini cara berfikir, banyak lagi awak belah sana kena belajar berpolitik,” selar Azman.



