KUALA LUMPUR – MCA mengingatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi bahawa beliau bukanlah Pengerusi Barisan Nasional (BN) mahupun anggota Dewan Tertinggi BN.
Menurut beberapa pimpinan MCA, Puad jelas tidak layak membuat keputusan bagi pihak Umno dan BN.
Timbalan Ketua Pemuda MCA Mike Chong Yew Chuan berkata, kenyataan Puad berkenaan hala tuju MCA dengan BN adalah tidak diperlukan, apatah lagi apabila beliau bukannya Pengerusi BN mahupun Anggota Dewan Tertinggi BN.
“Malah, kenyataannya yang dilihat bersungguh mempertahankan Pakatan Harapan (PH) dan DAP mengundang persoalan mengenai perjuangan politiknya,” selarnya dalam kenyataan pada Selasa.
Reaksi ini sebagai respons balas kepada kenyataan Puad yang menyebut, MCA sekadar mencari alasan untuk meninggalkan BN susulan resolusi parti itu pada perhimpunan agungnya hujung minggu lalu iaitu untuk membawa haluan sendiri sekiranya komponen BN lain bertegas mahu bekerjasama dengan DAP.
Puad mencabar MCA agar menentukan kedudukannya dalam BN sekarang, tanpa perlu menunggu Umno menyatakan pendirian mengenai kerjasama dengan PH menjelang PRU16.
Bahkan ahli MKT Umno itu berkata, parti itu berhasrat meneruskan kerjasama dengan PH, termasuk DAP, pada PRU16.
Justeru Mike Chong menegaskan, pendirian MCA yang dinyatakan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong adalah keputusan bersama perwakilan MCA, manakala hala tuju masa depan BN pula akan diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN. Ia bukan ditetapkan oleh satu-satu pemimpin sahaja.
“Maka, BN bukanlah satu platform untuk mana-mana pihak mengawal parti-parti komponen yang lain. Oleh itu, bagi Puad membuat kenyataan sebegini jelas menampakkan kesalahfahaman beliau mengenai semangat BN.
“Sekiranya Puad berpendirian bahawa kerjasama Umno dengan DAP akan menjamin kemenangan dia sendiri dalam PRU akan datang, itulah pendirian peribadinya, tetapi janganlah mengheret MCA bersamanya.
“Mengapa pula Puad begitu bimbang kalau MCA menyinggung perasaan PH dan DAP? Adakah beliau begitu takut kehilangan undi penyokong DAP?
“Ditekankan, perjuangan MCA adalah untuk rakyat, bukannya untuk memujuk hati PH mahupun DAP.
“Pemuda MCA sebagai barisan hadapan parti akan sentiasa menegakkan maruah MCA. Kami tidak akan membiarkan MCA dipergunakan oleh DAP, ataupun melihat sahaja MCA dipersalahkan. Kami menasihati pengkritik supaya cermin diri sendiri sebelum melempar kritikan terhadap orang lain,” katanya.
Sementara itu, AJK MCA Pusat Datuk Lee Ching Yong juga mengingatkan mengingatkan Puad bahawa beliau bukanlah Pengerusi BN dan beliau tidak layak membuat keputusan bagi pihak Umno dan BN.
“Pada masa sama, saya juga meminta Puad untuk renung sejenak mengenai kerjasama BN-PH ini. Apa jenis kawan politik yang akan bertanding di kerusi yang sama dengan BN? “Sekejap kawan, sekejap musuh. Adakah ini benar-benar hala tuju yang terbaik untuk BN?
“Di sini, saya juga ingin mengingatkan Puad mengenai semua kritikan yang dilemparkan DAP terhadap parti Umno sendiri sebelum ini antaranya, kluster mahkamah, korup, diktator, Taliban dan sebagainya. Oleh itu, sangat hairan mengapa wujud segelintir pemimpin Umno seperti Puad yang dilihat seakan lebih rela bersama DAP berbanding MCA, iaitu sahabat sejati sejak zaman menuntut kemerdekaan negara lagi.
“Tambahan lagi, keputusan PRU Sabah telah membuktikan bahawa kerjasama dengan PH tidak akan membawa manfaat kepada BN, kerana BN juga akan terheret dengan segala kontroversi yang membabitkan PH terutama DAP.
“Semua janji kosong, semua dasar kontroversi seperti RUU PSB, semua tindakan yang melanggar kebebasan bersuara dan media , BN akan turut dipersalahkan walaupun kita lantang membantahnya,” bidasnya.



