KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh memaklumkan dirinya adalah bukti bahawa menyertai Umno bukan menjadi ‘pak turut’, berdasarkan kenyataan pernah dibuatnya sebelum ini.
Menurut Akmal, Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi sentiasa mengalu-alukan cadangan atau pendapat dalam kalangan pemimpin parti.
“Kerana saya adalah bukti bahawa masuk dalam Umno ini bukan menjadi ‘pak turut’.
“Walaupun ada beberapa pendapat saya yang bercanggah dengan presiden (Zahid), tetapi tidak pernah sekalipun presiden minta saya berhenti daripada mengeluarkan pendapat,” katanya.
Beliau berkata demikian memetik laporan FMT, sekali gus mengalu-alukan kesediaan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar kembali ke pangkuan Umno.
Pada 6 Dis lalu, Khairy menyatakan hatinya sentiasa bersama Umno namun menegaskan tidak mahu kembali ke parti itu hanya untuk menjadi ‘pak turut’.
Katanya, kepulangan ke Umno sesuatu yang boleh dibincangkan jika parti itu boleh menerima beliau dan idealismenya untuk ‘Umno yang lebih baik’ seadanya.
Khairy mengulas respons positif Zahid mengenai kesediaan Umno menerimanya kembali, menyusuli langkah bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Akmal menyifatkan kesediaan Zahid membuka peluang kepada bekas pemimpin menyertai Umno semula membuktikannya berjiwa besar.
Sementara itu, Pengerusi Veteran Umno Datuk Othman Desa mengingatkan Khairy tidak perlu berfikir panjang dengan meletakkan pelbagai ‘halangan peribadi’ untuk kembali jika hatinya masih sayangkan parti.
Othman turut memberikan contoh tindakan pemimpin Indonesia Prabowo Subianto yang dipecat ketika pemerintahan Suharto namun tetap menziarahi pusara bekas presiden republik itu.
“Manakala, Datuk Seri Anwar Ibrahim 25 tahun terpisah dengan Umno sekarang jadi perdana menteri, dia tak memusuhi orang Umno dah. Apatah lagi orang yang dalam Umno, dipecat daripada Umno, hatinya pada Umno jadi Ahlan wasahlan wamarhaban bikum (selamat datang untuk Khairy),” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata kehadiran itu perlu dibuktikan melalui komitmen kepada parti sebagaimana diungkapkan Zahid.