Amalkan sikap pemanduan berhemah & patuhi undang-undang jalan raya – Hasbi

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

KLUANG – Setiap tahun, lebih 6,000 kematian direkodkan, secara puratanya bagi setiap 80 minit akan terdapat satu nyawa terkorban akibat nahas jalan raya.

Hampir 70% jumlah itu, terdiri daripada kalangan penunggang dan pembonceng motosikal, khususnya belia berumur antara 16 hingga 35 tahun, menjadi penyumbang utama berisiko tinggi terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hj. Hasbi Habibollah berkata demikian ketika berucap dalam
program Komuniti Selamat di Jalan Raya di Dewan Sri Cempaka, FELDA Ulu Belitong dekat sini, pada Selasa.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) , Datuk Aedy Fadly Ramli; Pengarah Bahagian Keselamatan Jalan Raya JPJ, Vanitha A/P Mohan; Pegawai Daerah Kluang, Hj. Mohd Rafi Abdullah, dan Timbalan Pengarah Felda Wilayah Segamat, Normawati Alir Nor.

Hasbi berkata, kajian turut menunjukkan hampir 80% daripada kemalangan adalah berpunca daripada pemandu itu sendiri.

Menurutnya, berdasarkan senarai lokasi kemalangan (blackspots) tahun lalu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jalan Kota Tinggi – Kluang di Seksyen 4.3 telah dikenal pasti sebagai salah satu kawasan berisiko tinggi berlakunya kemalangan jalan raya di Johor.

“Menurut data yang dikongsikan oleh Pejabat FELDA Ulu Belitong, seramai 104 peneroka telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan ini, antara 2022 hingga 2023.

“Melihat kepada angka yang membimbangkan ini, penekanan terhadap keselamatan jalan raya perlu dipertingkatkan, di samping mendidik pengguna agar mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya.

“Kewujudan jaringan jalan raya yang baik dan sistematik akan memudahkan komuniti setempat menjadikan jalan raya sebagai perhubungan meningkatkan taraf sosioekonomi setempat, justeru keselamatan jalan raya sangat dititikberatkan, ”katanya.

“Pemandu hendaklah sentiasa berwaspada, mempunyai sifat bersabar dan bertolak ansur dan tidak mementingkan diri supaya keselamatan semua pengguna jalan raya dapat dipastikan.

“Pengabaian terhadap peraturan jalan raya inilah penyebab kepada kehilangan nyawa, kecederaan anggota tubuh badan serta kerosakan kenderaan kepada ahli keluarga, rakan kenalan serta jiran tetangga,”katanya lagi.

“Memetik Ayat 195, Surah Al-Baqarah yang bermaksud, ‘Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan’

“Begitu juga diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radiallahu Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda: yang maksudnya, “Tidak boleh memudharatkan dan tidak boleh membalas mudharat dengan mudharat” (Hadis Riwayat Ibn Majah (2341).

Jelas sekali, Islam amat mementingkan keselamatan dan kemaslahatan, ”ujarnya.

“Ibu bapa disarankan menasihati dan mengawasi anak-anak mengamalkan langkah-langah keselamatan seperti melintas jalan dengan selamat, pastikan tidak menunggang motosikal tanpa lesen memandu, tanpa menggunakan topi keledar atau membawa kenderaan dalam keadaan yang membahayakan.

“Program ini dapat memberikan manfaat yang besar terhadap keselamatan jalan raya kepada seluruh komuniti di sini dan seterusnya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di semua peringkat komuniti kawasan ini.

“Slogan pandu cermat, sampai selamat hendaklah dijadikan pedoman,”ujarnya lagi.

JPJ dalam kenyataannya memaklumkan, tujuan program ini bagi meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan keselamatan jalan raya dalam kalangan komuniti setempat, khususnya, masyarakat FELDA Ulu Belitong serta penduduk sekitarnya.

“Pengisian program ialah advokasi keselamatan jalan raya, pertukaran topi keledar, simulasi melintas jalan untuk kanak-kanak, khidmat nasihat mengenai penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak serta simulasi titik buta (Blind Spot).

“Di samping itu, aktiviti perlawanan
futsal dan perkhidmatan kaunter bergerak bagi merapatkan hubungan antara pihak kerajaan dengan komuniti tempatan.

“Aktiviti ini diharap dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat dalam memahami dan menyedari peri pentingnya pengamalan budaya selamat dan berhemah di jalan raya.

“Ianya salah satu usaha kerajaan memperkukuhkan budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan komuniti tempatan dalam mencapai sasaran penurunan kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030, ”tambahnya.

“Program ini memberi ruang dan peluang kepada Rakan Strategik Keselamatan Jalan Raya JPJ menunjukkan usaha secara kolektif dalam kepentingan keselamatan jalan raya sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

“Antaranya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Petron Malaysia dan Hong Leong Yamaha Motor,”tambah kenyataan itu lagi. -SUARA.TV

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat