Pelabur asing jual RM1.16 bilion saham minggu lalu, peningkatan ketara -MIDF

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jualan bersih pelabur asing di Bursa Malaysia meningkat ketara dengan mencatatkan aliran keluar sebanyak RM1.16 bilion pada minggu lalu.

Ia juga adalah aliran keluar yang terbesar dalam tempoh tiga tahun selepas merekodkan jualan bersih sebanyak AS$1.79 bilion pada minggu berakhir 20 Mac 2020.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research) berkata, belian bersih pelabur asing adalah sekitar RM20.6 juta pada Isnin tetapi jualan bersih selepas itu adalah lebih tinggi.

Katanya, jualan bersih adalah pada RM39.3 juta pada Selasa; RM397.6 juta pada Rabu; RM410.6 juta pada Khamis dan RM336.3 juta pada Jumaat.

“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk bersih pelabur asing untuk minggu berkenaan ialah utiliti (RM86.2 juta), pembinaan (RM41.8 juta) dan hartanah (RM21.9 juta).

“Manakala tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar bersih asing ialah Perkhidmatan Kewangan (RM770.3 juta), Produk & Perkhidmatan Pengguna (RM246.5 juta) dan Penjagaan Kesihatan (RM159.8 juta),” katanya dalam satu nota penyelidikan, lapor BH.

Setakat ini, MIDF Research berkata, pelabur asing telah menjual bersih RM3.13 bilion di Bursa Malaysia.

Institusi tempatan pula, katanya menamatkan aliran jualan bersih selama tiga minggu dengan mencatatkan belian bersih RM1.05 bilion, jumlah belian bersih tertinggi yang dilihat dalam tiga tahun sejak minggu berakhir 5 Jun 2020 pada RM1.18 bilion.

Ia berkata, setakat tahun ini institusi tempatan telah mencatatkan pembelian bersih RM3.63 bilion saham terutamanya dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan (RM678.5 juta), penjagaan kesihatan (RM138.6 juta) dan produk & perkhidmatan pengguna (RM127.2 juta).

“Peruncit tempatan meneruskan pembelian bersih ekuiti domestik untuk minggu kedua berturut-turut pada RM114.4 juta.

“Sehingga kini, peruncit tempatan merekodkan jualan bersih berjumlah RM508.2 juta,” katanya.

Dari segi penyertaan, MIDF Research berkata terdapat peningkatan purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing sebanyak 2.4 peratus minggu lalu dan 3.6 peratus dalam kalangan institusi tempatan manakala peruncit tempatan mengalami penurunan sebanyak 3.7 peratus.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat