KUALA LUMPUR- Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menegur Kementerian Pertahanan (Mindef) kerana menandatangani Kontrak Tambahan Keenam (SA 6) bagi menyiapkan projek kapal tempur pesisir (LCS) tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Dalam laporan berhubung projek itu yang dinyahklasifikasi hari ini, PAC berkata jabatan itu memberitahu pihaknya telah memaklumkan kepada Mindef bahawa perlu ada tindakan lanjut bagi SA 6 dan harus dikembalikan kepadanya sebelum ditandatangani pada 26 Mei lalu.
“Keputusan Mindef membelakangkan AGC dalam menandatangani SA 6 ialah satu tindakan tidak wajar dilakukan kerana boleh memberikan implikasi perundangan kepada kerajaan dan ia tidak boleh berulang,” katanya lapor FMT pada Isnin.
Pada 26 Mei lalu, Mindef menandatangani kontrak tambahan Keenam dengan Boustead Holdings Bhd (BHB) bagi menyiapkan projek LCS yang mengalami masalah sebelum ini.
Kementerian itu diwakili ketua setiausahanya pada waktu itu, Muez Abd Aziz. Beliau yang bersara pada 31 Mei lalu digantikan Isham Ishak.
Di bawah perjanjian baharu itu, pelbagai langkah pencegahan telah dilaksanakan bagi memastikan kapal-kapal ini dihantar tepat pada masanya dan mengikut bajet diperuntukkan.
Pada 4 Ogos tahun lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal diterima.
Laporan itu turut mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lapuk daripada projek kapal peronda lama.
Laporan PAC berhubung kemajuan projek LCS itu turut mendedahkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hanya akan mendapat lima kapal berkenaan pada 2029, lewat tujuh tahun berbanding kontrak asal.
Menurutnya, tempoh pembinaan yang dilanjutkan 83 bulan itu turut memberi kesan kepada kosnya daripada RM9.128 bilion kepada RM11.22 bilion.
“Pertambahan sebanyak RM2.098 bilion berpunca daripada kos bagi reka bentuk (RM0.211 bilion), harga peralatan (RM1.214 bilion), insurans dan risiko (RM0.466 bilion), kos kewangan (RM0.143 bilion), pengurusan projek (RM0.066 bilion),” katanya.