‘Tanda pawagam kembali bernyawa’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bagai petanda awal proses pemulihan selepas melalui episod hitam hingga ada rangkaian panggung wayang terpaksa ‘gulung tikar’ akibat impak COVID-19, operator pawagam mula memberi maklum balas positif apabila sektor itu kembali beroperasi, bulan lalu.

Dua rangkaian panggung wayang terbesar di Malaysia, TGV Cinemas (TGV) dan Golden Screen Cinemas (GSC) mengakui keterujaan peminat filem untuk kembali ke pawagam makin dirasakan sejak kerajaan membenarkan premis terbabit dibuka semula susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) sektor kreatif pada 9 September lalu.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran, TGV Cinemas, Mohit Bhargava, berkata sejak kembali beroperasi pada 23 September lalu, maklum balas penonton filem cukup positif.

“Kebanyakan pelanggan yang berkunjung semula ke TGV sangat teruja menikmati suasana menonton wayang. Kenikmatan dan keseronokan seumpama itu tidak diperoleh di tempat lain, hanya di pawagam.

“Daripada maklum balas diterima, penonton cukup selesa berada dalam pawagam kami dengan mematuhi SOP termasuk ketika membeli makanan dan minuman dalam talian serta penjarakan kerusi dalam pawagam.

“Kita juga dapat mengesan kepuasan pengalaman menonton di pawagam melalui bancian dibuat. Rata-rata pelanggan amat berpuas hati untuk kembali menonton di pawagam dengan selamat,” katanya kepada BH Online.

Tambah Mohit, sejak hampir dua tahun membiasakan diri dengan norma baharu, penonton wayang sudah arif mengenai SOP yang perlu dipatuhi.

“Semua langkah keselamatan ini termasuk SOP dikuatkuasakan demi kebaikan dan keselamatan penonton wayang dan kakitangan.

“Kita kena terus membiasakan diri dengan situasi ini dan menghormatinya untuk kemudahan bersama,” katanya.

 

Mohit berkongsi maklum balas penonton filem cukup positif sejak TGV Cinemas kembali beroperasi pada 23 September lalu.
Mohit berkongsi maklum balas penonton filem cukup positif sejak TGV Cinemas kembali beroperasi pada 23 September lalu.

 

Mohit berkata, aliran menonton filem di pawagam pada hakikatnya masih menjadi pilihan dan sentiasa dirindui penggemar filem.

“Tontonan filem melalui skrin besar masih menjadi suatu pengalaman dan terapi yang tiada galang ganti buat penggemar wayang di Malaysia.

“Malah, untuk jangka panjang, kami percaya pawagam terus menjadi tunjang kuat buat rakyat Malaysia yang mahu menonton filem tempatan dan luar negara,” katanya.

Mohit berkata, sejak TVG beroperasi semula, filem antarabangsa yang mengambil slot atau giliran tayangan menjadi pilihan pencinta filem.

“Kami lihat filem seperti Black Widow, Jungle Cruise dan Malignant menjadi pilihan utama sejak pawagam beroperasi semula.

“Ini disusuli keterujaan peminat menyaksikan filem terbitan Marvel Studios, Shang-Chi and The Legend Of The Ten Rings sejak 30 September lalu.

“Malah, tiket jualan bagi filem Dune lakonan Timothée Chalamet dab Rebecca Ferguson yang dijadual pada 14 Oktober ini, sudah mula dibeli,” katanya.

Mohit berkata, beberapa cawangan TGV bagaimanapun belum dibuka kerana masih menunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, Pengurus Penjenamaan dan Perhubungan Awam GSC, Sharmine Ishak berkata, pelanggan memberi sambutan menggalakkan sejak premis beroperasi semula pada 16 September lalu.

“Ramai pelanggan datang ke pawagam kerana mahu menonton filem yang tidak dapat ditonton sebelum ini sejak premis ditutup.

“Apatah lagi dengan deretan filem antarabangsa yang menanti slot, ramai penggemar filem mula membeli awal tiket,” katanya.

 

Sharmine yakin rakyat masih memilih pawagam sebagai medium dan premis menonton filem terbaik.
Sharmine yakin rakyat masih memilih pawagam sebagai medium dan premis menonton filem terbaik.

 

Sharmine berkata, GSC yakin rakyat masih memilih pawagam sebagai medium dan premis menonton filem terbaik.

“Peminat wayang dilihat cukup berkobar-kobar mahu menonton di pawagam dan merasai kenikmatan pengalaman tontonan melalui skrin besar.

“Selepas berbulan-bulan menonton wayang melalui penstriman di rumah, pastinya momen melakukan aktiviti sama di pawagam dirindui,” katanya.

Sharmine berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan keselamatan dan keselesaan penonton wayang serta kakitangan tidak mengambil mudah soal SOP.

“Bagaimanapun, kami berharap kerajaan akan terus memberi kelonggaran SOP selepas semakin ramai rakyat Malaysia sudah mendapatkan vaksinasi lengkap.

“Ini termasuklah membenarkan penonton membeli makanan dan minuman di kaunter serta mengalu-alukan kanak-kanak seisi keluarga,” katanya.

Sharmine berkata, peralihan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Lembah Klang sejak 1 Oktober lalu dilihat petanda positif pawagam kembali ‘bernyawa’.

“Ada lokasi pawagam di bawah Fasa Tiga PPN boleh beroperasi hingga tengah malam dengan kapasiti 70 peratus ruang tayangan dibenarkan,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat