Najib Bakal Dilantik Penasihat Ekonomi Bertaraf Menteri?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kini nama Datuk Seri Najib Tun Razak disebut-sebut berpotensi akan dilantik sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Cakap-cakap mengenai pelantikan itu mula bertebaran semalam apabila Ismail Sabri menerima kunjungan bekas Perdana Menteri itu selama sejam di Putrajaya.

Perdana Menteri melalui Facebooknya berkata, mereka telah membincangkan tentang cabaran ekonomi dalam dan luar negara termasuk strategi mendepani pandemik Covid-19. ‘’Dato’ Sri Najib komited dalam menyumbangkan tenaga, masa dan idea untuk bersama-sama sebagai satu pasukan demi Keluarga Malaysia tercinta,’’ katanya.

Walaupun Ismail Sabri tidak menyebut apa-apa berhubung kedudukan Najib tetapi satu sumber mendakwa pengumuman mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri itu sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf menteri akan dibuat tidak lama lagi.

Najib pula ketika mengulas mengenai pertemuan beliau dengan Perdana Menteri berkata, ia bagi membincangkan keadaan semasa ekonomi Malaysia dan langkah-langkah seterusnya yang wajar diambil.

“Make no mistake. Terus terang saya kata. Malaysia masih berada dalam krisis. Malah akan berdepan dengan cabaran yang lebih besar dari segi ekonomi, pendapatan dan kebajikan rakyat.

‘’Dari sudut makro dan secara menyeluruh, kita sudah jauh ketinggalan di belakang berbanding dengan negara jiran. Malaysia tidak lagi mempunyai daya tarikan terhadap pelabur asing serta selepas 2018. Dari sudut mikro dan melibatkan rakyat pula, ramai tidak ada keyakinan terhadap ekonomi kita Malah timbul kerisauan terhadap keperluan, pendapatan dan kestabilan pekerjaan masing-masing,’’ katanya memetik UtusanTV.

Bagaimanapun jika benar pelantikan Najib mahu dilakukan, adakah ia sudah mendapat persetujuan daripada parti-parti lain dalam kerajaan?

Ia memandangkan Najib merupakan antara pemimpin yang didakwa berada dalam ‘Kluster mahkamah’ kerana berhadapan pelbagai tuduhan rasuah dan salahguna kuasa berkaitan dana SRC International dan 1MDB.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Ahli Parlimen Pekan itu bersalah terhadap tujuh pertuduhan tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Kes itu di peringkat rayuan.

Selain itu Najib juga sedang menjalani perbicaraan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Sebelum ini, parti-parti yang berada dalam kerajaan meletakkan syarat mereka bersedia menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dengan syarat tidak ada mana-mana pemimpin dalam ‘kluster mahkamah’ dilantik dalam Kabinet atau apa-apa jawatan kerajaan. Malah parti-parti pembangkang juga dikatakan meletakkan syarat yang sama jika Ismail Sabri mahu bekerjasama dengan mereka.

Apapun pelantikan Najib itu sekadar ura-ura, belum lagi rasmi, justeru sama-sama kita tunggu pengumuman daripada Perdana Menteri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,555FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat