UMNO, Jasamu Dikenang: MCA Harap Komponen BN Diteruskan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong tidak lupa jasa dan bakti UMNO kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

Bagaimanapun beliau masih berharap hubungan akrab UMNO, MCA, MIC dan PBRS diteruskan demi kesejahteraan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan dalam hantaran di Facebooknya semalam mencoret peribahasa “orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa” sebagai tanda penghargaan kepada budi baik UMNO kepada MCA selama ini.

“MCA juga sentiasa mengenang budi dan tidak lupa jasa dan bakti UMNO yang telah membantu calon MCA, Wee Jeck Seng yang mewakili BN menentang calon PH dan kemudiannya memenangi PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019.

“Kepada UMNO dan parti komponen BN dan Friends of BN, jasamu tetap dikenang. Terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Mohamad Hassan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Khaled Nordin, Tok Det (Datuk Seri Mahdzir Khalid), Datuk Hasni Mohamad, Tan Sri Annuar Musa, Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah), H2O (Datuk Seri Hishammuddin Hussein), KJ (Khairy Jamaluddin), Dr Asyraf, Tan Sri Vigneswaran, Datuk Seri Dr Noraini, Datuk Zahida dan ramai lagi yang tidak dapat saya senaraikan satu per satu di sini,” ucap Ka Siong.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, pada Perhimpunan Agung MCA yang berlangsung 7 Mac 2021 telah pun memutuskan bahawa MCA kekal bersama BN, sebuah gabungan parti yang diasaskan bersama oleh UMNO, MCA dan MIC sebelum kemerdekaan negara lagi.

“Itu pendirian jelas dan MCA tidak pernah berhajat menyertai mana-mana gabungan parti politik yang lain.

“Pada Mac 2020, Dewan Tertinggi BN memutuskan bahawa Ahli-Ahli Parlimen secara en-bloc menyertai Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan secara lantang menyatakan pendirian “no PKR & no DAP”. MCA menyokong keputusan BN secara kolektif.

“Selagi ketetapan BN tersebut tidak diubah, maka MCA berpegang teguh kepada ketetapan yang telah diluluskan secara konsensus dalam BN sebagaimana yang diamalkan sejak sekian lama,” ujar beliau.

Menurut Ka Siong lagi MCA dan MIC adalah rakan susah dan senang UMNO malah saling menghormati.

“Bahkan, pada 29 Julai 2021, jam 5.30pm, semua Ahli Parlimen BN diminta untuk hadir ke Bilik Mesyuarat Tingkat 3 Blok Ahli Parlimen untuk membincangkan pendirian bersama. Majoriti Ahli Parlimen BN hadir termasuk Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Hishammuddin, Datuk Arthur Kurup dan saya.

“Saya turut menyokong keputusan bersama yang dibuat oleh Ahli-Ahli Parlimen BN kerana ianya selari dengan ketetapan yang dibuat oleh Dewan Tertinggi BN pada Mac 2020.

“Ya betul, MCA adalah rakan setia UMNO dan MIC. Masa senang kita bersama dan ketika susah juga kita tetap bersama. Kerana apa? Kerana kita berpegang kepada semangat BN serta mengamalkan konsep musyawarah dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” jelas beliau.

Menyedari UMNO kini berdepan krisis namun katanya, MCA tidak berhasrat mencampuri urusan parti Melayu itu.

“Kita berkawan berdasarkan prinsip dan nilai-nilai sejagat yang kita pegang dan dipersetujui bersama. MCA tidak berhajat mencampuri urusan dalaman parti UMNO.

” Saya yakin UMNO mempunyai “political wisdom” dan mampu menyelesaikan segala kekusutan yang sedang dihadapinya.

“Doakan yang terbaik buat UMNO! BN adalah platform kita bersama. Ramai yang mungkin keliru bahawa apa yang dibincangkan dan diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti komponen akhirnya akan dibawa ke Dewan Tertinggi BN untuk pertimbangan bersama semua parti komponen BN.

” Selama ini, itu jua mekanismenya.Saya mendoakan hubungan akrab antara parti komponen BN iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat berbilang kaum di Malaysia,” luah beliau dengan tanda pagar #BNbangkit.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat