KUALA LUMPUR – “Sogok ahli Parlimen untuk kepentingan diri juga satu jenayah,” demikian kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya jika bukan jenayah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak siasat.
Dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin Najib berkongsi satu artikel bertajuk “Audio mirip Muhyiddin: SPRM tunggu arahan peguam negara” bertarikh 23 Julai 2020 ia berkaitan laporan dibuat terhadap Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan munculnya rakaman suara mirip Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan ahli Parlimen UMNO ‘dipikat’ dengan jawatan menteri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bergabung dengan Bersatu.
Audio berkenaan dibocorkan oleh laman Facebook yang menyokong Dr Mahathir Mohamad dan dikatakan dirakam dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada 23 Februari tahun lalu.
“Lebih setahun masih krik.. krik…krik.
“Mungkin audio pengakuan menyogok “scheme of things” tak cukup HD kot.
“Sogok ahli parlimen untuk kepentingan diri juga satu jenayah.Jika bukan jenayah, SPRM tak siasat,” sindir Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan.
Hari ini, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan agensi itu memandang serius mengenai tohmahan mendakwa beberapa ahli Parlimen DAP ditawarkan rasuah seperti wang dan jawatan oleh sesetengah pihak untuk mereka menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sehingga kini, SPRM sudah menemui tiga ahli Parlimen DAP berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tohmahan tersebut.
“Setakat ini, SPRM tidak dapat mengenal pasti identiti sebenar pemilik nombor telefon yang menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp tersebut kepada ahli-ahli parlimen berkenaan,” kata SPRM dalam kenyataan pada Isnin.