Bapa masih di IJN, Amylea risau bil rawatan

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Komposer dan penyanyi, Amylea Azizan bersyukur dan lega apabila bapanya, Azizan Zainal Abidin, 62, yang masih menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN), sejak seminggu lalu sudah boleh membuka mata.

Amylea dihubungi berkata biarpun keadaan kesihatan bapanya belum stabil akibat jangkitan kuman di paru-paru serta mempunyai darah beku di saluran jantung, tetapi sekurang-kurangnya badan masih mampu bertindak balas dengan ubat.

“Ayah saya masih lagi berjuang dengan penyakit jantungnya di IJN, namun kami sekeluarga tetap bersyukur kepada Allah dengan maklum balas yang ayah tunjukkan setakat ini.

“Kami akan terus berdoa sehingga ayah dimasukkan ke wad biasa walaupun doktor memaklumkan peluang untuk dia pulih itu tipis, tetapi Allah yang menentukan segalanya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Amylea, apa yang pasti doktor akan berusaha memberi rawatan terbaik buat bapanya serta dia dan keluarga juga setiap hari mengadakan bacaan Yassin di rumah memohon kesembuhan daripada Allah buat bapa tersayang.

“Cuma, apa yang saya dan keluarga risaukan ialah bil rawatan di IJN yang berterusan. Saya berharap semoga kami ada jalan lain seperti memohon bantuan dari mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan sumbangan.

“Saya sebenarnya tidak berniat nak susahkan sesiapa dan bantuan kewangan ini diminta pun hanya untuk membiayai kos rawatan ayah saya semata-mata. Bagi wang perbelanjaan keluarga, saya masih mampu tanggung,” katanya.

Baru-baru ini, Amylea dan keluarga berjaya mengumpulkan wang untuk rawatan bapanya menerusi sumbangan orang ramai yang diperoleh selepas adik iparnya berkongsi rayuan derma kilat dalam kumpulan WhatsApp kejiranan.

Kemudian, Amylea juga membuat perkongsian di Instagramnya dan  dari situ dia dapat mengumpulkan wang yang cukup sebagai deposit untuk membolehkan ayahnya mendapatkan rawat lanjut di IJN.

Menurut Amylea, selama 17 tahun dia aktif dalam kerjaya seni memang sukar untuknya berkongsi kisah peribadi dan masalah keluarga kepada pengetahuan orang ramai terutama memuat naik di media sosial.

“Tetapi, baru-baru ini saya memang berada dalam keadaan kecemasan untuk mendapatkan wang bagi membolehkan rawatan segera ayah saya di IJN yang penyakit jantungnya sudah semakin kritikal ketika itu.

“Bukan saya mengada-ngada nak memilih hospital mahal, tapi disebabkan penularan Covid-19 sekarang banyak hospital menolak pesakit kerana doktor bersama petugas barisan hadapan yang lain sibuk menguruskan pandemik ini,” katanya.

Amylea berkata sebelum Covid-19 melanda negara, ayahnya mendapatkan rujukan rawatan pemeriksaan lanjut di Hospital Ampang dan Hospital Serdang, Selangor sejak disahkan menghidap penyakit jantung, kira-kira dua tahun lalu.

 

Amylea Azizan
Amylea Azizan

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat