Kempen santai dekati pengundi muda, Ayna Soraya tekad buka lebih banyak peluang di Sungai Balang

MUAR — Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin meneruskan siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan mendekati masyarakat melalui program komuniti yang menghimpunkan penduduk pelbagai lapisan usia, khususnya golongan muda.

Beliau berkata, pendekatan kempen yang lebih santai menerusi program bersama komuniti menjadi platform terbaik untuk mendengar sendiri pandangan rakyat selain mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

Menurut Ayna Soraya, program yang berlangsung pada malam itu menggabungkan program sesi borak santai serta jamuan barbeku (BBQ) bersama masyarakat setempat.

“Program pada malam ini sebenarnya melibatkan semua lapisan masyarakat, namun Alhamdulillah majoriti yang hadir ialah golongan muda.

“Konsep program ini lebih santai dan berteraskan komuniti. Kita mengadakan sesi santai bersama masyarakat, jamuan BBQ dan memasak sarawa durian.

“Matlamat utama ialah menghimpunkan masyarakat dalam suasana yang mesra supaya mereka dapat berinteraksi secara lebih dekat,” katanya kepada Suara TV ketika ditemui di program berkenaan, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Balang malam tadi.

Ayna Soraya berkata, sambutan yang diterima daripada penduduk jauh melebihi jangkaan, sekali gus membuktikan minat anak muda terhadap program komuniti dan isu semasa semakin meningkat.

“Alhamdulillah, sambutannya sangat luar biasa. Sejujurnya saya sendiri tidak menjangkakan kehadiran seramai ini. Pada mulanya kami menjangkakan kurang daripada 100 orang. Namun kehadiran malam ini jauh melebihi jangkaan.

“Bagi saya, ia menunjukkan golongan muda bukan sahaja berminat untuk hadir ke program komuniti, malah mereka juga mengambil berat tentang isu semasa.

“Apabila mereka hadir dalam jumlah yang ramai, itu memberi gambaran bahawa mereka mengikuti perkembangan semasa dan mahu menjadi sebahagian daripada perbincangan mengenai masa depan kawasan mereka,” katanya.

Mengulas mengenai maklum balas yang diterima sepanjang tempoh berkempen, beliau berkata anak muda di Sungai Balang lebih mengutamakan peluang untuk membina masa depan berbanding sekadar mendengar janji politik.

“Sepanjang saya berkempen, perkara yang paling jelas saya lihat ialah anak muda mahukan ruang dan peluang.Mereka bukan sekadar mahu didengari, tetapi mahu melihat peluang sebenar yang boleh membantu mereka membina masa depan.

“Saya tidak melihat mereka sebagai golongan yang hanya mahukan janji. Sebaliknya, mereka cukup matang untuk menilai sama ada sesuatu perancangan itu benar-benar boleh dilaksanakan atau sebaliknya.

“Sebab itu fokus saya ialah bagaimana memanfaatkan segala sumber ekonomi yang sedia ada di Sungai Balang untuk membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda.

“Kita perlu memastikan potensi kawasan ini dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, keusahawanan dan pembangunan yang memberi manfaat kepada generasi muda,” katanya.

Beliau turut menyeru pengundi muda supaya membuat pilihan berdasarkan masa depan dan bukan dipengaruhi sentimen politik semata-mata.

“Bagi saya, anak muda hari ini memahami bahawa mengundi merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang sangat penting.
“Mereka sedar bahawa politik mempunyai kesan secara langsung terhadap kehidupan mereka.

“Apa yang saya harapkan ialah supaya anak muda membuat pilihan berdasarkan masa depan, bukannya semata-mata berdasarkan sentimen.

“Jangan membuat keputusan hanya kerana mewarisi sokongan kepada sesuatu parti ataupun kerana sudah terlalu selesa dengan keadaan sedia ada.

“Sebaliknya, fikirkan bagaimana sesuatu pilihan itu mampu membentuk masa depan generasi akan datang serta membawa pembangunan yang lebih baik kepada Sungai Balang.

“Pada pandangan saya, kita tidak boleh terlalu selesa dengan keadaan hari ini. Dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar, perubahan perlu dilakukan demi memastikan masa depan masyarakat menjadi lebih baik,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat