Wan Saiful desak MOF, KPM bayar tunggakan kontraktor kebersihan sekolah di 7 negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa kontraktor Bumiputera yang menjalankan kerja kebersihan sekolah-sekolah di tujuh negeri masih belum dibayar untuk kerja-kerja mereka tahun lepas.

Susulan dakwaan itu Wan Saiful mendesak kegagalan melunaskan pembayaran tertunggak itu diaudit oleh Ketua Audit Negara.

“Dalam perbincangan saya dengan beberapa wakil kontraktor kecil, saya dimaklumkan bahawa sehingga kini masih ada kontraktor kebersihan sekolah-sekolah di negeri-negeri berikut yang masih belum dibayar untuk kerja-kerja mereka tahun lepas. Tujuh negeri itu melibatkan Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Selangor, Pahang, Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Saya dimaklumkan ini adalah disebabkan oleh Arahan Perbendaharaan (AP58) yang dikeluarkan pada penghujung tahun 2024. Walaupun pada hujung setiap tahun memang menjadi kebiasaan untuk bayaran tertangguh beberapa bulan akibat AP58, di bawah kerajaan ini tempoh penangguhan adalah amat lama dan tidak munasabah.

“Saya turut dimaklumkan bahawa bayaran untuk pelarasan gaji minima yang telah dinaikkan juga masih ada yang belum dilunaskan oleh kerajaan. Akibatnya usahawan-usahawan yang majoritinya Bumiputra sekali lagi terpaksa menanggung kos tambahan akibat kegagalan kerajaan menunaikan tanggungjawab,” kata Wan Saiful.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu mempersoalkan, adakah kerajaan sedar bahawa kelewatan yang tidak munasabah ini boleh menjejaskan kelestarian operasi usahawan-usahawan tersebut?

“Seterusnya ini memberi kesan kepada ribuan pekerja yang bertugas di bawah kontrak-kontrak yang terbabit.

“Akibatnya, ada usahawan yang terpaksa berhutang atau mengambil “factoring” untuk menampung kegagalan kerajaan membuat bayaran. Mereka terpaksa menanggung kos tambahan faedah atau interest atas hutang itu, yang sebenarnya tidak perlu sekiranya kerajaan ini lebih cekap.

“Pemimpin kerajaan hari ini kelihatan terpisah jauh dari realiti hidup rakyat. Mereka bongkak menayangkan gambar ber”jogging” di lokasi-lokasi mewah di luar negara, tetapi rakyat dibiarkan susah dan mereka yang berniaga pula tidak dibayar untuk kerja yang telah selesai.

“Ini kerajaan yang tidak merasai denyut nadi rakyat. Mereka tidak peduli bahawa kesusahan hidup rakyat adalah disebabkan kegagalan mereka,” bidas beliau.

Menurut Wan Saiful beliau, telah mengangkat isu ini sejak tahun 2023.

Ujarnya, sudah lebih dua tahun, tapi malangnya kerajaan terus gagal menyelesaikannya.

“Nampaknya kerajaan ini bukan saja tidak cekap, tetapi juga tidak prihatin terhadap beban yang ditanggung mereka yang berkhidmat menjalankan kontrak kerajaan.

” Saya menggesa Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan segera menyelesaikan bayaran-bayaran tertunggak.

” Saya juga menggesa Ketua Audit Negara mengaudit kelemahan yang amat ketara dalam hal ini,” kata Wan Saiful lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat