KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Singapura dilaporkan datang ke Kuala Lumpur dalam usaha untuk merekrut doktor, jururawat yang berminat untuk bekerja di negara itu.
Memetik laporan the Vocket, menurut perkongsian pengguna laman Threads, negara jiran itu menawarkan gaji yang lumayan kepada sesiapa yang terpilih untuk bekerja di seberang.
“Mereka membayar gaji bermula dari 110k SGD setahun, tidak termasuk faedah/elaun penginapan bulanan/insurans.
“Peluang yang baik untuk mengumpul simpanan selama sekurang-kurangnya 2 tahun dan kemudian kembali ke Malaysia jika rindu kampung halaman,” tulis seorang pengguna.
Graduan perubatan Malaysia dikatakan menjadi pilihan hospital di Singapura kerana mereka dianggap sebagai ‘aset murah tetapi berkualiti tinggi’.
Memetik laporan FMT, seorang doktor berkongsi bahawa graduan perubatan Malaysia terdapat di semua hospital di sana dan menjadi pilihan kerana sistem latihan doktor pelatih di Malaysia yang holistik.
“Hospital yang saya bertugas ini, 40 peratus petugas perubatan adalah graduan universiti terkemuka di Malaysia,” katanya, yang sudah setahun berkhidmat di negara berkenaan.
Selepas 6 bulan bertugas sebagai pegawai perubatan di sebuah hospital di Malaysia, Akram menerima tawaran untuk berkhidmat di Singapura.