KUALA LUMPUR — Malaysia terus memainkan peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM ke-58).
Di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kelestarian’, lebih 40 menteri luar dan wakil daripada organisasi antarabangsa dijadual menghadiri beberapa siri mesyuarat pimpinan ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai 2025.
Melalui agenda AMM ke-58, mesyuarat utama yang berlangsung ialah Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) ASEAN dan Jawatankuasa Penggubalan SOM ASEAN, yang membincangkan draf kenyataan bersama dan penyelarasan dasar luar antara negara anggota.
Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mempengerusikan Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan Wakil-wakil AICHR yang dihadiri Menteri-Menteri Luar Negara Anggota ASEAN serta Menteri Luar Timor-Leste yang hadir sebagai pemerhati.
Mesyuarat suamuka itu merupakan penglibatan rasmi pertama dalam kalendar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan.
la menjadi pemula penting bagi perbincangan tahun ini dan menetapkan hala tuju Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia yang berteraskan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
Beliau juga menerajui Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan mempengerusikan mesyuarat tiga hala bersama Norway serta Sekretariat ASEAN.
Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan integrasi serantau yang sebenar hanya akan tercapai apabila ASEAN memperkasa rakyatnya supaya dapat menikmati hasil kemakmuran bersama, pertumbuhan yang adil dan keadilan sosial.
Malaysia jelasnya turut menyambut baik usaha berterusan oleh Wakil-Wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dalam merangka dua pengisytiharan penting.
Turut dibincangkan, potensi penyertaan Timor-Leste dalam perjanjian berkenaan dan isu berlarutan bagi mendapatkan persetujuan Negara Senjata Nuklear (NWS) terhadap Protokol Perjanjian SEANWFZ.
Untuk rekod, ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan pengerusi ASEAN sepanjang sejarahnya sebagai anggota blok serantau itu selepas mempengerusikannya pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.