Isu HRD Corp: Pegawai SPRM beredar selepas 1 jam ambil dokumen di Kementerian Sumber Manusia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Selepas kira-kira sejam berada di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dipercayai bagi mengambil dokumen berkaitan isu HRD Corp, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat meninggalkan kementerian berkenaan pada jam 12.22 tengah hari tadi.

Mereka meninggalkan pekarangan bangunan KESUMA sambil membawa beberapa beg dipercayai berisi dokumen berkaitan HRD Corp yang dikaitkan dengan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

Terdahulu, empat pegawai SPRM berkenaan tiba pada jam 11.20 pagi dengan hanya berpakaian biasa dan menaiki kenderaan tidak berlogo.

Difahamkan, anggota dan pegawai terbabit dipecahkan kepada dua pasukan dengan satu daripadanya ke tingkat 4 yang menempatkan Bahagian Pengambilan Pekerja Asing manakala satu lagi ke tingkat 7 yang menempatkan Cawangan Kawal Selia dan Penguatkuasaan.

Ketika dihampiri media, seorang daripada pegawai terbabit memaklumkan tugas mereka belum selesai dan akan hadir lagi ke kementerian itu nanti, lapor BH di Putrajaya pada Selasa.

Akhbar itu sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada SPRM, HRD Corp dan KESUMA berhubung perkembangan terbaharu itu.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, dilaporkan berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu HRD Corp seperti yang didedahkan dalam LKAN 2/2024.

Beliau berkata, selain di KESUMA, pasukan siasatan juga ke ibu pejabat HRD Corp hari ini bagi mendapatkan dokumen berkaitan.

“Kita sudah terima laporan audit yang dikemukakan oleh KSU (Ketua Setiausaha) KESUMA. Berasaskan laporan audit itu, kita mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak terbabit.

“Antaranya isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta dan sebagainya. Oleh itu, satu pasukan khas dibentuk dan beberapa kertas siasatan sudah dibuka,” katanya menerusi kenyataan.

Kunjungan pegawai SPRM ke KESUMA dan bangunan ibu pejabat HRD Corp di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini dipercayai ada kaitan dengan kenyataan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mendapati agensi itu guna kutipan levi RM3.77 bilion untuk aktiviti pelaburan.

PAC mendapati HRD CORP yang bukan sebuah institusi pelaburan telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan dengan menggunakan wang levi seperti ‘put and call option’.

Pelaburan ini adalah berisiko tinggi dan boleh mendedahkan HRD Corp kepada kerugian besar.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat