Tuntutan autonomi Sarawak harus dibawa ke Parlimen, tak wajar lemahkan Petronas – Tun M

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tuntutan Sarawak untuk autonomi lebih besar serta kawalan terhadap sumber minyak dan gas mesti dibawa ke Parlimen, bukan diselesaikan melalui rundingan tertutup.

Beliau berkata, dalam sebuah Persekutuan dasar negara mesti diutamakan berbanding tuntutan negeri, sambil menyatakan kekayaan perlu diagih secara adil antara negeri kaya dan miskin.

Membandingkan kemakmuran negeri itu dengan era penjajahan, Dr Mahathir berkata Sarawak mendapat banyak manfaat apabila menjadi sebahagian dari Malaysia.

“Ketika Sarawak berada bawah pemerintahan British, adakah mereka membina menara berkembar? Mereka sangat miskin. British mengambil semua hasil mereka,” lapor FMT.

Dr Mahathir berkata, Sarawak mungkin berhak memperoleh lebih banyak hasil daripada sumber minyak dan gasnya, tetapi memberi amaran ia tidak boleh sehingga melemahkan Petronas.

Beliau berkata, Petronas memerlukan modal besar untuk berkembang dan tidak seharusnya terkesan akibat tekanan politik.

“Seluruh dunia kagum apabila Malaysia berjaya menubuhkan Petronas, kerana banyak negara pengeluar minyak tidak mempunyai syarikat nasional yang terlibat dalam setiap aspek industri minyak dan gas.

“Petronas antara syarikat yang diuruskan dengan baik di Malaysia. Sebab itu ia tersenarai dalam Fortune 500. Tetapi sekarang, kerana politik, ia berisiko untuk dipecah-pecahkan. Saya percaya ada penyelesaian lain yang juga boleh memberi manfaat kepada Sarawak,” katanya memetik portal berita itu.

Rundingan mengenai hak gas antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) masih menjadi perbalahan.

Penganalisis industri memberi amaran pelantikan Petros sebagai agregator gas Sarawak akan memecahkan monopoli Petronas sekali gus menjejaskan ekonomi, industri minyak dan gas negara serta negeri itu.

Ketidaktentuan peraturan yang timbul menyebabkan pelabur asing menarik diri daripada dua projek minyak utama di Sarawak, Salam-Patawali dan Lang Lebah.

Dr Mahathir berkata, memiliki sumber minyak semata-mata tidak menjamin kemakmuran sebaliknya kejayaan datang daripada tadbir urus yang baik, seperti ditunjukkan Petronas selama ini.

Sarawak terus mendesak untuk mengawal sumber minyak dan gasnya walaupun Akta Kemajuan Petroleum 1974 memberikan hak eksklusif kepada Petronas.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg, menekankan Petros dan Petronas perlu bekerjasama untuk manfaat bersama, namun menegaskan kepentingan negeri itu mesti diutamakan.

Dr Mahathir mengakui hak Sarawak untuk menuntut syarat lebih baik tetapi memberi amaran supaya tidak menggunakan tekanan politik untuk mendapatkan layanan istimewa.

“(Sabah dan Sarawak) tahu kerajaan persekutuan sangat bergantung kepada sokongan mereka, jadi mereka boleh menuntut banyak perkara. Menyedihkan apabila alasan politik digunakan bukan alasan nasional atau ekonomi.

“Negara akan rugi jika rundingan antara kerajaan persekutuan dan negeri diteruskan seperti sekarang,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat