CYBERJAYA – Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima kunjungan hormat daripada pihak pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Bahagian Kawal Selia FELDA (BKSF) dari Jabatan Perdana Menteri.
Pertemuan tersebut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneliti perkembangan semasa FELDA serta membincangkan pelbagai cadangan penambahbaikan berkaitan aspek pengurusan dan tadbir urus agensi itu.
“Pertemuan ini memberi ruang untuk kami memperhalusi perkembangan semasa serta cadangan penambahbaikan dalam pengurusan dan tadbir urus FELDA demi kesejahteraan peneroka dan kelestarian masa depan organisasi ini,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi miliknya petang ini.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan akan terus komited memastikan FELDA kekal sebagai institusi penting dalam memperjuangkan nasib peneroka serta menjadi pemangkin pembangunan luar bandar dan pemerkasaan ekonomi negara.
FELDA, yang ditubuhkan lebih enam dekad lalu, terus memainkan peranan besar dalam membentuk landskap ekonomi luar bandar dan menyediakan peluang kepada generasi peneroka untuk terus maju dalam pelbagai sektor.