KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar hari ini sudah membuat keputusan sekali gus menghantar pencalonan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR yang setakat ini hanya bersaing dengan penyandangnya Datuk Seri Rafizi Ramli.
Nurul Izzah tampil menangkis tuduhan kononnya pencalonan beliau hanya akan memberi imej bahawa PKR parti anak-beranak.
Justeru anak sulung Perdana Menteri yang juga Presiden PKR itu juga menegaskan, sekiranya ahli-ahli PKR mengundi beliau sekali gus menang jawatan Timbalan Presiden PKR beliau sedikit pun tidak berminat dengan jawatan Kabinet.
“Sekiranya saya menang jawatan Timbalan Presiden sekalipun, saya tidak berminat dengan jawatan Kabinet.
“Saya yakin, mereka yang membaca kenyataan ini dengan penuh rasional dapat membezakan nepotisme iaitu dilantik oleh ahli keluarga untuk sesuatu posisi berbanding pertandingan yang diundi oleh akar umbi,” tegas Naib Presiden PKR itu lagi.
Beliau malah menyatakan, persepsi label parti anak beranak bukan lah serangan baharu.
“Malah, sejak 1998, ketika saya bersama pengasas dan pejuang Reformasi bersama-sama menubuhkan PKR, label ini telah digunakan untuk memperlekeh perjuangan kita.
“Ketika saya menang Naib Presiden dengan undian tertinggi pada tahun 2010, 2014 dan 2018, serangan yang sama tetap dilemparkan.
“Walau apa jua gelaran dan persepsi yang dilemparkan selama puluhan tahun, saya tetap akan terus berkhidmat, Insya-Allah kerana yakin bahawa proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme.
“Sebaliknya, itulah asas demokrasi yang perlu kita pertahankan dalam parti kita ini.
“Pada 2018, saya meletakkan jawatan daripada Jawatankuasa Kira-kira Negara pada dasarnya menentang kegagalan Perdana Menteri, Tun Mahathir ketika itu untuk memastikan perbelanjaan kerajaan dipantau dengan memastikan pembangkang memegang jawatan ketua PAC.
“Ketika PH memenangi PRU ke-14, saya telah ditawarkan untuk dilantik sebagai Menteri. Apa keputusan saya? Saya menolak kerana ianya adalah lantikan Perdana Menteri, di dalam Kabinet yang turut dianggotai oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri,” jelas beliau.
Dalam tempoh dua hari ini, beliau berkata ada melihat beberapa penyokong PKR yang mengeluarkan kata nista menyerang peribadi, malahan dipanggil dengan pelbagai gelaran dan status perkahwinan saya juga dijadikan ejekan kempen.
“Saya secara peribadi berasa terkilan bukan kerana tohmahan itu semata-mata, tetapi kerana ia datang dari dalam keluarga besar PKR sendiri.
“Seruan saya kepada semua, jangan sesekali menyerang pimpinan dan sahabat seperjuangan yang lain dengan biadab, apatah lagi menyentuh isu peribadi mereka.
“Ini parti yang telah kita bina bersama. Kita boleh bertembung idea dan berbeza pandangan sepanjang pemilihan ini, tetapi kekal lah dengan adab dan hikmah.
“Berhujahlah dengan fakta, bukan dengan emosi, hinaan, gelaran dan kata-kata kesat.Biduk lalu, kiambang bertaut.
“Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, izinkan saya, Nurul Izzah Anwar, menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden PKR 2025-2028.
Sekiranya perwakilan PKR merasakan saya sesuai untuk menggalas tanggungjawab dan amanah besar ini, Insya-Allah, saya akan berusaha melakukan yang terbaik demi PKR,” ujarnya.