Aksi bola sepak Faisal tidak akan sama seperti dulu, sukar pulih 100 peratus -doktor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kecederaan melecur tahap empat yang dialami Faisal Halim akibat serangan simbahan asid mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan karier pemain bola sepak kebangsaan itu.

Berdasarkan kecederaan serius itu, terdapat kemungkinan juga sukar untuk melihat aksi Faisal atau Mickey seperti yang dulu kerana kecederaan tahap empat membabitkan otot, tulang dan saraf selain mengambil masa yang panjang untuk pulih.

Doktor kulit di Klinik Usraa, Dr Noor Ameera Rahmat menjelaskan peluang untuk Faisal pulih ada dan masih terlalu awal untuk mengatakan kecederaan yang dialami itu boleh menamatkan kariernya.

Beliau bagaimanapun berkata, kebiasaannya pesakit yang mengalami kecederaan melecur tahap empat juga sukar untuk pulih 100 peratus seperti asal.

Justeru, katanya, bagi kes Faisal, kecederaan itu mungkin memberi kesan kepada kariernya yang mana boleh menyebabkan dia sukar bermain bola sepak seperti dahulu.

“Ada peluang untuk (Faisal) pulih, cuma untuk pulih 100 peratus sukar, mungkin 30 ke 40 peratus sahaja. Ia akan membabitkan banyak siri pembedahan dan pembedahan itu pun ambil masa yang lama sebab doktor nak tengok perkembangan luka dia.

“Kalau tahap empat memang mengambil masa berbulan-bulan sebab dari pembedahan pun akan ambil 17 ke 21 hari. Bergantung kepada perkembangan luka, kalau dia tiada penyakit lain dan menjaga pemakanan, mungkin mudah atau cepat luka nak baik.

“Jika diikutkan, kecederaan tahap empat boleh menjejaskan karier dia, tapi kita tengok dalam proses penyembuhannya. Kalau dia kuat semangat dan luka dia cepat baik, mungkin ada peluang untuk dia bermain semula dan masih terlalu awal nak kata dia perlu bersara awal.

“Untuk pembedahan, doktor akan ambil kulit tempat lain seperti paha bagi menutup tempat kulit yang terbakar dan kalau perasan bila terbakar kulit akan jadi macam tertarik. Ia perlu rawatan sebab bila kulit tertarik ia akan menyebabkan pergerakan terbatas,” lapor BH Sukan pada Khamis.

Faisal yang juga tonggak Selangor FC dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badan selepas diserang individu tidak dikenali menggunakan asid ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Ahad lalu.

Sementara itu, Dr Muhammad Aliff Md Zaki menjelaskan walaupun mengalami kecederaan pada tangan dan badan, namun ia akan memberi kesan kepada persembahan Faisal kerana ia mempengaruhi keseimbangan badan pemain berusia 26 tahun itu.

Pegawai perubatan Klinik Kesihatan Gambang, Kuantan itu berkata, otot yang rosak atau putus apabila dirawat dan disambung semula tidak akan sempurna seperti asal.

“Mungkin kita tak akan nampak Faisal yang dulu, kecuali kalau pembedahan yang dilakukan dapat merawat sepenuhnya kecederaan dan mungkin dia boleh kembali kepada persembahan asal. Namun, apabila sudah sampai kes macam ini (kecederaan tahap empat), jarang boleh kembali pulih kepada asal.

“Faisal juga akan menjalani proses fisioterapi untuk menguatkan kembali anggota badan selain dia mungkin memerlukan proses pemulihan dari segi mental kerana ini bukan kes kemalangan biasa, tapi kes jenayah. Ia boleh menyebabkan mangsa trauma atau takut.

“Faisal mungkin seorang atlet yang memiliki mental kuat, cuma apabila dia kembali ke dunia luar nanti kita risau dia trauma. Jadi lebih baik rujuk kepada psikiatri untuk pastikan mentalnya berada pada tahap terbaik,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat