KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui filem Anwar: The Untold Story mengingatkan beliau tentang perit dan beban yang ditanggung isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, anak-anak dan temannya.
Kata Anwar meskipun keseluruhan dialog dan penceritaan tidak sama secara total, namun isu yang dibangkitkan dalam karya berkenaan adalah kejadian sebenar.
“Menonton filem Anwar: The Untold Story buat kali pertama bersama Azizah, keluarga dan teman-teman semalam.
“Sejujurnya, saya tersentuh dengan filem ini yang mengangkat kisah perjuangan politik saya.
“Filem ini juga mengingatkan saya tentang perit dan beban yang ditanggung Azizah, anak-anak dan teman,” kongsi Perdana Menteri di Facebooknya pada Selasa.
Beliau malah mengagumi dan menghargai usaha dan kehebatan produksi yang berjaya merangkumkan kisah panjang perjuangannya menjadi filem.
“Salut saya buat pasukan produksi yang pintar dan hebat kerana mampu meringkaskan penceritaan selama puluhan tahun kepada filem berdurasi kira-kira 90 minit,” ujarnya.