KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan kerja ke Washington, Amerika Syarikat (AS) bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat pada 12 dan 13 Mei ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Isnin memberitahu, Sidang Kemuncak Khas itu diadakan bersempena ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog ASEAN-Amerika Syarikat yang merupakan landasan strategik bagi ASEAN dan AS mengkaji dan meneroka bidang kerjasama pragmatik bagi memperkukuh kerjasama sedia ada.

Dalam pada itu kata Kementerian Luar ia juga dijangka membincangkan antara lain, isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, kerjasama ekonomi, Covid-19 dan keselamatan kesihatan, perubahan iklim dan tenaga bersih.

“Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin ASEAN lain dijadual menyertai beberapa siri mesyuarat dan perbincangan dengan Presiden dan Naib Presiden AS semasa Sidang Kemuncak Khas itu.

“Program-program lain yang diaturkan pihak AS termasuklah sesi-sesi bersama Kepimpinan Kongres AS, beberapa anggota Kabinet AS dan pemimpin perniagaan negara berkenaan,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra turut memaklumkan, Sidang Kemuncak Khas ini dijangka menghasilkan Kenyataan Visi Bersama yang menggariskan komitmen dan aspirasi untuk meningkatkan kerjasama ASEAN-AS demi keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran bersama berterusan.

Semasa di Washington, Perdana Menteri turut dijadualkan menghadiri sambutan Hari Raya Keluarga Malaysia dan berjumpa dengan diaspora Malaysia.

Perdana Menteri yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas berkenaan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Turut serta pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.